top of page

Sikap fanatisme agama membongsaikan pemikiran kreatif, toleransi budaya - Anwar



Malaysia tidak boleh terperangkap dalam kepungan sikap fanatisme agama lantaran kemajmukan budaya serta tamadunnya.


Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pidatonya di program Membangun Khaira Ummah:"Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat" berkata, sikap fanatik dan menetapkan hanya satu aliran pemikiran atau fahaman politik sahaja yang betul telah membongsaikan pemikiran dan menghilangkan kreativiti umat di negara ini.


"Dalam konteks kita, saya rasa relevan untuk kita bicarakan ialah, satu pihak (aliran fikiran) melampau. Trend pemikiran yang tidak boleh berbeza pendapat, terus dihukum. Bukan sahaja pendapat, berbeza parti pun. Kalau tak mendukung ketua (sesebuah) parti maka dihukum.


"Satu pihak lain, saya diserang, Islam yang kita bawa sosok plural dan liberal. Kalau rahmatan lil alamin itu plural atau tidak? Bukannya rahmatan lil muslimin atau mukminin.


"Pluralisme menerima semua agama (itu) tidak betul. Toleran terhadap agama itu ada, dan saya di antara yang kuat mempertahankan matlamat mengangkat dan mempertahankan Islam di negara ini, dalam keadaan sama, menghormati hak penganut agama lain. Tetapi tidak menyamakan (antara agama)," katanya di Dewan Besar, Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan, pagi tadi.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, pernah Jabatan Agama di sebuah negeri menyebarkan ucapannya di London School of Economics sebagai membawa nilai pluralisme kerana memetik kata-kata filosof Confucius dan Dante yang mempunyai nilai-nilai seiring kebaikan ajaran Islam.


"Saya cakap kepada orang Barat. 90% yang hadir adalah profesor dan mahasiswa London School Of Economics.


"90% dalam dewan itu orang asing sama sekali. Saya sebut itu (falsafah selain Islam) untuk menggambarkan Islam itu tidak ekstrim sebagaimana digambarkan. Islam itu ada titik persamaan, ada keadilan, ada persamaan. Bila sebut The Golden Mind dalam falsafah Greek, mereka (hadirin) lebih menangkap berbanding dihujahkan dengan ayat-ayat Quran, kepada orang Barat," katanya lagi.


Anwar juga menjelaskan pengalaman sepanjang beliau mengajar di beberapa buah universiti di Barat selepas dibebaskan kali pertama dari penjara pada 2004 lalu, pengetahuan berguna yang diperolehinya adalah mengenai kejahilan Barat mengenai konsep dan ajaran Islam yang sebenarnya.


"Bila Samuel Huntington bicara tentang Clash of Civilizations ada menganggap kebangkitan tamadun Islam menjadi pencabar yang membahayakan manusia kerana mencabar inti kefahaman sekular Barat.


"Jawapan ringkas Edward Saïd, pemikir Palestin terkemuka, Kristian Arab. Yang clash ialah clash of ignorance. Akibat kejahilan orang Barat itu mengetahui ilmu, hampir tidak dapat menguasai apa erti tamadun selain dari Barat. Islam hanya prasangka, islamofobia. Tiada yang positif tentang Islam melainkan Islam yang boleh dilakar semula yang sesuai dengan agenda Barat.


"Kata Edward Saïd, kalau betul mahu faham kita mesti memahami termasuk tamadun Barat tetapi harus faham Islam dan dari fahaman kaca mata orang Islam sendiri. Jangan menghadam tamadun Islam sebagaimana dilakar oleh orientalis dan sarjana Barat," katanya.


Bagaimanapun, dari segi kelimuan Anwar mengkritik ahli akademik Islam sendiri yang tidak bersungguh-sungguh menggali kehebatan ilmu yang ditinggalkan pemikir Islam sehingga terpaksa mengungkapkan Islam secara meminjam pendekatan Barat atau terlalu rigid dengan ruang lingkup disiplin ilmu Islam semata-mata tanpa kajian bandingan.


"Edward Saïd orang pertama menulis orientalisme dengan sangat mendalam. Bagaimana anti Arab, anti Islam, prasangka terhadap yang lain dari Barat. Dia kupas dari sejarah, sastera, ekonomi, antopologi, sejarah.


"Untuk memahami yang lain dari Barat kena baca buku ini. Clash itu pertembungan ignorence. Tetapi menarik dia kata sebab orang Islam dari segi menanggapi Islam itu pun tidak semestinya benar. Sebahagiannya mencedok Islam dari fahaman orang Barat dan sebahagiannya mengambil Islam dari pengalaman budaya yang terbatas dengan kongkongan sistem pada masa itu.


"Aliran fekah dan tasawuf itu dipengaruhi oleh penguasa politik pada masa itu. Jadi oleh yang demikian, ada kelemahan orang Islam menguasai ilmu kerana banyak sekatan dan penguasaan terbatas," katanya.


Menurut Anwar lagi, kekeliruan pemikiran Islam yang melahirkan budaya taksub hanya mengakibatkan munculnya gerakan keganasan atas nama Islam seperti al Qaeda atau ISIS yang tidak pun mewakili ajaran Islam sebenar.


Majlis ilmu Membangun Khaira Ummah itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Institut Darul Ehsan.


Turut menjadi pembicara adalah beberapa tokoh ilmuan termasuk Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden Wadah dan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page