Siasat skandal LCS sekarang, tidak perlu tunggu RCI – Hassan Karim


Ahli Parlimen Pasir Gudang mahu kerajaan mempercepatkan siasatan berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) tanpa perlu menunggu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk.
Hasan Abdul Karim berkata, isu tersebut perlu diberikan perhatian serius, sama seperti beberapa skandal besar negara sebelum ini.
Menurutnya, projek tersebut yang bermula pada 2013 itu sudah melalui tempoh 13 tahun, lima kali pertukaran kerajaan serta melibatkan lima Menteri Pertahanan.
"Siasatan segera perlu dilaksana membabitkan agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"RCI ini lambat, leceh dan saya dah hilang sabar," katanya dipetik laporan media.
Beliau sementara itu turut mahu siasatan dijalankan meliputi semua pihak yang mempunyai kaitan dengan proses pemerolehan projek berkenaan, termasuk menteri dan pegawai kanan kerajaan yang terlibat.
Beliau berpandangan, tindakan tidak seharusnya hanya dikenakan kepada pegawai bawahan atau pihak tertentu, sebaliknya mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke mahkamah sekiranya terdapat bukti kukuh.
"Jangan jeneral-jeneral saja yang siasat, diheret ke mahkamah, dituduh.
"Saya lihat lima Menteri Pertahanan dari dulu sampai sekarang dan KSU. Maksud saya, bukan malaikat, siasat mereka. Bawa mereka ke mahkamah, baru kita dapat tahu," katanya lagi.




Comments