top of page

Serangan terhadap anak Rafizi buli jenayah, ambil tindakan tegas - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 17
  • 2 min read

ree

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam keras serangan terhadap anak kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang disifatkan sebagai satu bentuk buli jenayah pengecut bertujuan menakut-nakutkan seorang pemimpin melalui keluarganya.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), berkata tindakan itu bukan sekadar biadab tetapi melampaui batas kemanusiaan dan undang-undang kerana menyasarkan anak kecil yang tidak berdaya.


"Ini bukan sekadar perbuatan biadab, tetapi satu bentuk buli, jenayah pengecut yang cuba menjadikan keluarga sebagai sasaran demi melemahkan keberanian seorang pemimpin.


"Dalam masyarakat bertamadun, perbezaan pendapat atau persaingan apa pun mesti diselesaikan melalui saluran undang-undang, hujah, dan dialog.


"Menyasar ahli keluarga, apatah lagi anak kecil yang tidak berdaya adalah tindakan yang melampaui batas kemanusiaan dan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.


Mahfuz menegaskan serangan itu memberi isyarat berbahaya bahawa ada pihak sanggup menggunakan keganasan untuk mencapai agenda tertentu.


"Sama ada ia dilakukan oleh musuh politik yang bacul atau kumpulan penjenayah upahan, kedua-duanya adalah ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara mengambil langkah tegas, termasuk memburu dan menangkap pihak terlibat tanpa mengira kedudukan atau pengaruh; mendedahkan kepada rakyat siapa dalang sebenar; memberikan perlindungan keselamatan kepada Rafizi dan keluarganya; dan memastikan hukuman setimpal dijatuhkan sebagai pengajaran.


Tegas Mahfuz, semua pihak dalam politik, perniagaan mahupun mana-mana bidang perlu menolak budaya menggunakan keluarga sebagai sasaran.


"Hari ini ia menimpa keluarga pemimpin.


"Serangan terhadap anak Rafizi adalah tamparan kepada nilai kemanusiaan kita. Jika kita biarkan, hari ini anak Rafizi, esok mungkin anak orang lain pula menjadi mangsa.


"Undang-undang mesti menjadi benteng, dan keadilan mesti ditegakkan sekarang," kata beliau lagi.


Mahfuz turut mengingatkan bahawa kes buli terhadap anak-anak, termasuk tragedi yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina, mesti diadili dengan seadil-adilnya agar mesej jelas sampai bahawa jenayah terhadap kanak-kanak tidak boleh diterima sama sekali.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page