Serah siasatan isu provokasi agama kepada pihak berkuasa - PM
- Azuan Ab Rahman

- 5 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri menyeru masyarakat menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung isu provokasi agama mengikut lunas undang-undang yang berkuatkuasa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keyakinan bahawa siasatan dijalankan pihak berkuasa akan merungkai semua kebenaran secara menyeluruh dan telus.
"Serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan sewajarnya. Kerajaan MADANI akan memastikan keadilan ditegakkan dan keamanan negara terus terpelihara," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, tular gambar kaki lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu tersebut di media sosial.
Susulan itu, seorang individu yang didakwa penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan dan direman sehingga 3 Mac depan bagi membantu siasatan
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Pihaknya juga sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan merujuknya kepada Timbalan Pendawa Raya
Sementara itu, Perdana Menteri dalam satu kenyataan berasingan menepis dakwaan yang menuduh kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran.
Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas, Anwar menegaskan dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tindakan diambil berdasarkan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi menerusi media sosial.
"Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang berkuatkuasa.
"Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi," tegasnya.




Comments