Kumpulan senator Pakatan Harapan (PH) Plus menyokong penuh kenyataan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh untuk memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Menurut senator-senator PH Plus, kuasa Agong tersebut berdasarkan kepada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 14 (1)(b) yang telah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog (melanjutkan) dan membubarkan Parlimen.
"Kami, Ahli-ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia menyokong penuh kenyataan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais yang telah menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mempunyai kuasa autoriti semasa Darurat untuk memanggil Ahli Parlimen kembali bersidang.
"Seiring pandangan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, kami juga berpendapat kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong, dan ia adalah penyerahan kuasa yang lengkap bersesuaian dengan tempoh Darurat yang masih berlangsung," kata kenyataan itu.
Mereka juga menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan berhubung keperluan negara segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus, bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, tetapi juga masalah ekonomi dan perpaduan rakyat keseluruhan.
"Kami ingin menzahirkan kebersamaan kami dengan Tuanku yang telah menekankan tentang betapa pentingnya kestabilan politik dan keperluan sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat bagi memerangi wabak Covid-19 secara berkesan.
"Kami berpandangan amat jelas titah Yang di-Pertuan Agong itu menggesa agar Parlimen segera bersidang. Malah kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) yang senada menyeru agar sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri dipanggil segera adalah isyarat jelas kepentingan negara ini terus memelihara prinsip demokrasi berparlimen dan keluhuran Perlembagaan," kata mereka.
Para Senator PH Plus itu juga mahu Parlimen kembali dibenarkan berfungsi secepat mungkin sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat juga Pelan Pemulihan Negara dan membincangkan segala peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat.
"Kami konsisten menekankan sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat.
"Parlimen dan DUN adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar secara jelas, terarah dan konstruktif," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Senator Raj Munni Sabu (Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara), Senator Liew Chin Tong (Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara), Senator Datuk Theodore Doughlas (Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara), Senator Ismail Yusop (Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara), Senator Dr Yaakob Sapari, Senator Dato Wira Marzuki Yahaya, Senator Dato Donald Peter Mojuntin, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Senator Datuk Husam Musa, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Senator Manolan Mohamad, Senator Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah, Senator Lim Hui Ying, Senator Nga Hock Cheh, Senator Alan Ling Sie Kiong, Senator Adrian Banie Lasimbang, Senator Kesavadas Achyuthan Nair dan Senator Suresh Singh.
Comments