Selangor unggul dalam usaha kurangkan air tidak berhasil
- Suara Keadilan

- 21 hours ago
- 1 min read

Selangor muncul antara negeri berprestasi terbaik dalam mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), hasil komitmen pengurusan yang konsisten dan berkesan.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata, pencapaian pengurangan NRW berbeza mengikut negeri, namun Selangor dan Johor mencatat prestasi paling memberangsangkan.
"Prestasi pengurangan NRW berbeza mengikut negeri. Johor dan Selangor menunjukkan pencapaian terbaik hasil komitmen pengurusan yang kukuh," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) baru-baru ini memaklumkan kadar NRW di negeri itu berjaya dikurangkan kepada 26.76 peratus pada 2025 berbanding 27 peratus tahun sebelumnya.
Sejak 2017, Air Selangor mewujudkan 569 Zon Pemeteran Daerah (DMZ) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memperkukuh pemantauan aliran air serta mempercepat pengesanan kebocoran.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pengurangan NRW memerlukan pelaburan besar dan komitmen berterusan.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2.525 bilion bagi Program Pengurangan NRW Kebangsaan 2025–2030 untuk mengganti infrastruktur kritikal, menaik taraf meter dan memperkukuh keupayaan operator.
"Pengurangan NRW adalah tanggungjawab operator air negeri. Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang bermula pada Ogos 2025 akan membantu meningkatkan aliran tunai bagi membiayai operasi dan aktiviti pengurangan NRW," tambahnya.




Comments