top of page

Selangor teliti manfaatkan sepenuhnya kemahiran guru KAFA

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti model baharu bagi membolehkan guru sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengendalikan sesi pembelajaran pagi dan petang.

Exco Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) berkata pendekatan tersebut bukan sahaja menangani isu kekurangan tenaga pengajar, sekaligus membolehkan mereka menikmati kadar gaji lebih tinggi dengan peruntukan dua tenaga pengajar disalurkan kepada seorang guru yang mengendalikan kedua-dua sesi.


"Kalau dua guru contohnya, satu guru RM1,500 pagi, seorang lagi guru RM1,500 petang. Tapi kalau diwujudkan satu guru sahaja untuk kedua-dua itu, kita boleh bayar guru tersebut RM3,000 sebenarnya, sebagai contoh.


"Jadi kaedah itu pun sedang kita teliti, cuma ia akan terhad kepada sekolah-sekolah yang ada dua sesi," katanya dipetik laporan media.


Dr Fahmi Ngah berkata begitu ketika merasmikan Pusat TEDUH @ MBPJ di SS2 di Petaling Jaya pada Khamis.


Beliau bagaimanapun menjelaskan, cadangan tersebut belum dimuktamadkan, namun akan diperhalusi menerusi program rintis di sekolah agama bawah JAIS yang mempunyai dua sesi persekolahan.


"Program rintis itu akan digunakan untuk menilai kesesuaian pendekatan berkenaan sebelum sebarang keputusan pelaksanaan dibuat. Nanti kita akan umumkan kalau sesuai," tambahnya.


Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri terus komited memastikan kebajikan guru agama di negeri itu diberi perhatian.


Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut mengemukakan kertas cadangan untuk menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,500 kepada RM1,700 selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup semasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page