Selangor-MOTAC perkukuh kerjasama jayakan Mesyuarat ASCC Ke-34
- Suara Keadilan

- Sep 18
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Sri Tiong King Sing bersama delegasi kementerian itu pada Rabu.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Selangor dan MOTAC dalam menjayakan penganjuran Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) Ke-34 yang dijadualkan pada 5 hingga 10 Oktober depan di Bandar Sunway, Selangor.
"Kerajaan Negeri menyambut baik perbincangan ini dan komited memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program berprestij ini.
"Penganjuran itu bukan sahaja memperkukuh hubungan serantau, tetapi juga membuka ruang lebih luas bagi promosi sektor pelancongan negeri, seiring pelaksanaan Tahun Melawat Selangor 2025," kata Amirudin dalam satu hantaran di Facebook.
Mesyuarat ASCC bakal menghimpunkan menteri-menteri serta pegawai kanan negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu sosio-budaya serantau merangkumi pembangunan modal insan, kelestarian alam sekitar, kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan kesejahteraan rakyat.
Selain mesyuarat utama, pelbagai program sampingan berbentuk simposium, bengkel dan aktiviti kebudayaan turut dijadualkan berlangsung sepanjang acara tersebut.









Comments