Selangor mengorak langkah sebagai hab teknologi bersih
- Suara Keadilan

- Sep 28
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Negeri Selangor mengukuhkan komitmen ke arah teknologi tenaga bersih dengan memeterai persefahaman bersama China General Nuclear (CGN) di Shenzhen, China.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu dijangka bukan sahaja akan memperkukuh ekosistem tenaga lestari, malah mengangkat Selangor sebagai destinasi pelaburan utama dan hab teknologi bersih di Asia Tenggara.
"Usaha ini merupakan komitmen negeri dalam melaksanakan agenda kelestarian yang akan membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu.
"Ia akan turut meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan tenaga lestari demi masa depan generasi akan datang," katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya pada Sabtu.
Amirudin bersama delegasi Selangor yang turut disertai oleh Worldwide Holdings Berhad dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) telah mengadakan lawatan ke Loji Tenaga Nuklear Daya Bay di Shenzhen, Guangdong.
Lawatan ini membolehkan Selangor memahami dengan lebih mendalam teknologi tenaga bersih (clean energy) serta potensi kerjasama dalam bidang latihan dan penyelidikan.
"Sebagai sebuah negeri yang komited dengan agenda kelestarian, Selangor bersemangat untuk meneroka teknologi tenaga boleh baharu dan tenaga bersih.
"Kerjasama sedia ada Worldwide Holdings dengan CGN signifikan dalam memperkukuh agenda Selangor ke arah tenaga hijau.
"STDC berperanan dalam pembinaan kapasiti dan meningkatkan kecekapan tenaga kerja mahir melalui program TVET yang sejajar dengan industri berteknologi tinggi, termasuklah tenaga nuklear di Negeri Selangor," jelasnya.









Comments