Selangor lindungi pengguna, perketat pemantauan harga barangan
- Azuan Ab Rahman

- 6 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor akan mempergiat pemantauan harga barangan di seluruh negeri itu bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikan harga secara tidak munasabah susulan peningkatan harga diesel.
Sehubungan itu, operasi pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di pasar awam, premis runcit serta pusat pengedaran.
"Kerajaan Negeri amat memahami kegelisahan rakyat berhubung kenaikan harga diesel yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup serta harga barangan keperluan harian.
"Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa rakyat tidak akan dibiarkan menanggung beban kenaikan kos secara bersendirian.
"Kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pertimbangan dasar dan tindakan yang diambil," kata Exco Pengguna, Datuk Rizam Ismail (gambar) menerusi satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa jenis sayur-sayuran mengalami kenaikan harga susulan cuaca panas melanda negara selain kenaikan bahan bakar diesel semasa.
Sementara itu, Rizam menyeru peniaga dan pembekal supaya bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan.
Dalam masa sama jelasnya, Kerajaan Negeri turut akan memperkukuh saluran aduan rakyat serta mengambil tindakan segera terhadap sebarang isu kenaikan harga yang membebankan pengguna.
Dalam masa sama, katanya usaha memperluas bantuan dan intervensi bersasar akan dipertingkatkan khususnya bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.




Comments