Selain berkempen calon DUN Bukit Naning dengar denyut nadi rakyat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N14 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni meneruskan kempen secara bersemuka dengan menyantuni penduduk dari rumah ke rumah bagi mendengar sendiri keperluan dan permasalahan masyarakat setempat.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan beliau bertemu pelbagai lapisan masyarakat dengan tujuan memahami isu yang dihadapi penduduk di kawasan itu.
"Tiada jalan yang terlalu jauh, tiada pintu yang terlalu sukar untuk diketuk apabila niatnya adalah berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam hantaran di media sosial pada hari ketiga berkempen.
Menurut beliau, sesi ziarah bukan sekadar meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya menjadi ruang untuk memahami denyut nadi rakyat secara langsung.
"Hari ini saya bersama pasukan turun menyantuni penduduk, menziarahi warga emas, mendengar sendiri keluhan usahawan dan menyelami denyut nadi masyarakat di setiap pelusuk Bukit Naning," katanya.
Ysahrudin berkata kempen yang dijalankan perlu menjadi platform mendengar pandangan rakyat serta mencari penyelesaian kepada isu yang dibangkitkan.
"Bagi saya, kempen bukan sekadar meraih undi. Ia adalah peluang untuk mendengar, memahami dan mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi rakyat," katanya.
Beliau turut berjanji akan memikul amanah dengan penuh keikhlasan sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi.




Comments