top of page

Sekurang kurang tiga kesalahan jenayah dikesan berdasarkan laporan RCI TH

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya berakhir sebagai laporan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli siasatan menyeluruh dan pendakwaan terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati melakukan kesalahan, kata Hassan Abdul Karim (gambar).


Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, beliau percaya Kerajaan MADANI akan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan siasatan lanjut secara menyeluruh supaya sebarang kesalahan yang dikenal pasti dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan tindakan pendakwaan di mahkamah diambil.


"Tidak ada gunanya kalau laporan RCI ini habis begitu sahaja tanpa ada tindakan undang-undang dilakukan. Namun saya tidak menuduh begitu sahaja, maknanya perkara ini di bawah tanggungjawab pihak berwajib yang lebih pakar, mahir yang ada lebih berkuasa.


"Saya hanya memberi pandangan sebagai seorang Ahli Parlimen yang merasa bertanggungjawab dan sebagai seorang pengamal undang-undang yang melihat perkara ini mempunyai kepentingan awam," katanya menerusi satu siaran video.


Hassan yang juga seorang peguam berkata, berdasarkan dapatan laporan RCI, beliau berpandangan terdapat beberapa kesalahan jenayah iaitu yang pertama membabitkan dakwaan penipuan kewangan Lembaga Tabung Haji pada ketika itu.


"Kedua, kesalahannya ialah memalsukan rekod kira-kira kewangan. Ini serius (kerana melibatkan) duit jemaah haji, duit rakyat yang sudah menabung nak pergi haji.


"Ketiga, kesalahannya ialah melakukan pengagihan hibah oleh LTH pada 2017 ketika ia mengalami kerugian. Ini satu kesalahan," katanya lagi.


Sehubungan itu, Hassan berkata pihak PDRM, SPRM dan BNM merupakan agensi yang bertanggungjawab menjalankan siasatan lanjut.


Terutama, kata beliau, berkenaan Laporan Lembaga Tabung Haji pada 2017 yang didapati 'menyembunyikan' keadaan sebenar kewangan bila mana, Lembaga TH melaporkan memperolehi keuntungan sebanyak RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017.


Sedangkan, sepatutnya dilaporkan bahawa pada tahun berkenaan TH telah merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion.


Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga telah memberi jaminan bahawa mana-mana pihak yang didapati bersalah akan disiasat dan didakwa mengikut lunas undang-undang dan hal itu sepatutnya dilaksanakan segera.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page