top of page

SekPur lapor polis isu transaksi mencurigakan terkait bekas menteri

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 8
  • 1 min read

Updated: Apr 9

Mejar (B) Razali (kiri) bersama Shahbudin selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, petang tadi
Mejar (B) Razali (kiri) bersama Shahbudin selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, petang tadi

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) hari ini membuat satu laporan polis susulan dakwaan sebual portal dalam talian mendakwa wujud transaksi mencurigakan berjumlah RM500,000 melibatkan mantan menteri.


Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, beliau telah membaca satu laporan berita dalam sebuah portal yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan skandal Projek Vending Machine bernilai RM21.1 juta ketika berada di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi.


"Antara perkara utama yang didedahkan dalam laporan tersebut adalah dakwaan pembayaran rasuah berjumlah RM500,000 kepada pihak menteri melalui seorang perantara atau proksi.


"(Turut didedahkan) dakwaan penglibatan pegawai tinggi kementerian yang membantu dalam proses transaksi dan kelulusan kontrak tersebut," katanya berdasarkan salinan laporan polis yang dilihat pihak media.


Oleh itu, Razali menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengesahkan kesahihan transaksi bank yang dinyatakan dalam laporan tersebut.


"(Siasatan juga mohon dijalankan ke atas) individu-individu dan syarikat yang dinamakan dan proses penganugerahan tender projek agar ia mengikut tatacara kewangan kerajaan yang sah.


"Laporan ini dibuat demi kepentingan awam dan integriti pentadbiran negara. Saya juga melampirkan salinan cetak artikel berita tersebut untuk rujukan pihak polis," katanya lagi.


Terdahulu, menteri terbabit telah menafikan beliau terbabit dengan dakwaan mempunyai hubung kait dengan syarikat yang didakwa memberi rasuah.


Beliau juga menolak dokumen berupa invois yang didakwa bayaran kepadanya, dengan mengatakan tiada orang memberi rasuah akan mengeluarkan resit.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page