top of page

Segera baiki jalan pedalaman yang semakin kritikal - KEADILAN Baram

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 22 minutes ago
  • 2 min read
Keadaan jalan balak di kawasan Baram yang boleh menjadi jalan maut pada bila bila masa
Keadaan jalan balak di kawasan Baram yang boleh menjadi jalan maut pada bila bila masa

KEADILAN Baram menggesa Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera membaiki jalan perhubungan di kawasan pedalaman Baram yang disifatkan semakin kronik sehingga menjejaskan keselamatan serta kehidupan harian penduduk.


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata, keadaan bekas jalan balak yang menjadi laluan utama masyarakat pedalaman kini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan campur tangan segera pihak berkuasa.


"KEADILAN Baram melahirkan rasa kesal dan kebimbangan yang amat mendalam terhadap keadaan jalan perhubungan (bekas jalan balak) di kawasan pedalaman Baram yang kini berada dalam keadaan yang sangat teruk dan berbahaya," katanya dalam satu kenyataan media.


Menurut beliau, infrastruktur yang uzur itu menjejaskan pergerakan harian penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada laluan berkenaan untuk ke bandar bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan asas.


Roland turut mengingatkan bahawa Kerajaan Sarawak sebelum ini pernah mengumumkan hasrat untuk mengambil alih ribuan kilometer bekas jalan balak bagi tujuan penyelenggaraan dan penaiktarafan.

Hanya pemandi 'otai' yang melepasi lubang
Hanya pemandi 'otai' yang melepasi lubang

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Baram mendakwa sehingga kini tiada sebarang kerja pembaikan atau naik taraf dilaksanakan seperti yang dijanjikan.


"Untuk rekod Kerajaan Sarawak sebelum ini telah berjanji mahu mengambil alih ribuan kilometer bekas jalan balak bagi tujuan penyelenggaraan dan penaiktarafan.


"Namun, sehingga ke hari ini, janji tersebut dilihat sebagai retorik semata-mata kerana tiada sebarang kerja-kerja pembaikan mahupun naik taraf yang dilakukan di lapangan,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa sama ada Kerajaan Sarawak atau Kerajaan Persekutuan segera menyalurkan peruntukan dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan demi menjamin keselamatan penduduk.


"Keselamatan dan kebajikan rakyat di pedalaman tidak wajar dipinggirkan. Infrastruktur perhubungan yang selamat adalah hak asasi rakyat untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan awam yang sempurna.


"Kami mendesak pihak berkuasa untuk turun padang melihat sendiri realiti kesusahan rakyat dan menyegerakan peruntukan serta kerja-kerja pembaikan jalan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku," katanya lagi.


Pengambilalihan jalan balak telah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak baru baru ini.


Misalnya, pada Jun 2026, diumumkan pengambilalihan keseluruhan jaringan jalan balak di Bahagian Kapit sepanjang kira-kira 1,700 kilometer. Namun begitu kerajaan Sarawak masih belum mengumumkan perancangan penuh untuk menaik taraf jalan yang tidak diturap tersebut, atau berapa lama projek untuk menyempurnakannya sebagai jalan yang selamat digunakan oleh rakyat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page