
Sedekah pilihanraya yang 'dihalalkan' oleh Pas tidak berdasarkan kompas moral.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah berkata dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang lalu amat luar biasa jumlah wang 'sedekah' yang telah diberi kepada pengundi di Terengganu.
Raja Bahrin mendakwa antara RM300 dan RM600 telah ditawarkan kepada pengundi sehingga menyebabkan UMNO Terengganu membuat petisyen pilihanraya di beberapa kerusi parlimen yang mereka kalah.
"Laporan polis oleh UMNO Terengganu, yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said, tentang berlakunya rasuah secara meluas semasa PRU 15 di Terengganu tidaklah menghairankan kami.
"Yang menghairankan kami adalah terlibatnya Pas yang selama ini mendakwa diri pejuang Islam dikaitkan dengan perbuatan tersebut secara meluas.
"Video video pihak tertentu memberi wang kepada pengundi dengan janji "ikrar" akan mengundi parti tertentu menguatkan lagi tuduhan tersebut.
"UMNO Terengganu telahpun mengambil tindakan mahkamah," katanya dalam kenyataan.
Namun perkara yang memeranjatkan, kata Raja Bahrin, adalah kenyataan Presiden Pas yang menyebut tiada salahnya memberi wang sedekah semasa tempoh kempen PRU 15.
Katanya, kalaupun sedekah wang tersebut tidak salah dari sudut undang undang dunia namun hal itu salah dari sudut moral dan nilai murni Islam.
"Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad, melalui kenyataan akhbar telah menyatakan perbuatan pemberian wang pada tempoh kempen PRU yang dilaporkan adalah satu sogokan, dan perbuatan membeli undi," katanya.
Bagi mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, hanya Pas dan Bersatu sahaja yang mengelirukan rakyat dan menyifatkan pemberian wang sebagai sedekah itu berdasarkan niat pemberi.
Juateru beliau berharap Majlis Fatwa kebangsaan bersikap tegas dan memutuskan hukum berkenaan pembelian undi agar masyarakat tidak terkeliru dengan 'fatwa' pemimpin Pas yang menggunakan agama.
Raja Bahrin turut mengecam sedekah yang dilakukan di luar musim bencana atau 'musim buka sekolah'.
"Mengapakah pihak pihak berkenaan berilham dan memilih untuk bermurah hati untuk bersedekah pada bulan November semasa kempen pilihanraya ?
"Bukankah waktu rakyat perlu bantuan 'sedekah' adalah sebelum buka sekolah, dan tahun baru sekolah buka adalah bulan Mac 2023 dan bukan November 2022.
"Waktu bantuan 'sedekah' juga diperlukan selepas banjir melanda Terengganu yang hanya berlaku pada pertengahan bulan Disember dan bukan lebih awal pada awal November apabila sedekah di beri secara meluas pada pengundi
"Perlu ingat kerajaan Perikatan Nasional mendakwa mereka sebagai kerajaan yang bersih dan sempurna, seolah maksum tetapi mengapa sogokkan begitu berleluasa seperti tidak pernah dilihat sebelumnya boleh berlaku di Negeri Terengganu pada PRU 15," katanya lagi.