top of page

Sarawak ambil alih jalan balak: Penduduk mahu jalan selamat, berkualiti - Khusyairy

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read

Masyarakat pedalaman di Bahagian Kapit menuntut penjelasan berhubung pelaksanaan pengambilalihan 1,700 kilometer (km) jalan balak sebagai jalan awam negeri yang diumumkan kerajaan Sarawak baru-baru ini.


Ketua Cabang KEADILAN Kapit, Khusyairy Pangkas (gambar) berkata, pengumuman itu sememangnya sesuatu yang dialu-alukan namun masyarakat pedalaman tidak hanya memerlukan angka dan janji.


Sebaliknya kata beliau, mereka mahu melihat pelaksanaan sebenar yang boleh dinilai dengan mata kasar serta merasai sendiri manfaat pembangunan melalui jalan yang selamat, berkualiti dan boleh digunakan sepanjang tahun.


"Komitmen yang hanya dilaungkan tanpa pelaksanaan yang jelas hanya akan menambahkan kesengsaraan penduduk luar bandar.


"Rakyat pedalaman tidak lagi mahu sekadar mendengar pengumuman yang berulang setiap tahun. Mereka berhak mendapat ketelusan, jadual pelaksanaan yang jelas serta peruntukan kewangan yang mencukupi.


"Pembangunan yang sebenar ialah apabila jalan yang dijanjikan benar-benar siap, dapat digunakan dengan selamat, dan meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar," katanya menerusi satu kenyataan.


Pada 27 Jun lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil alih 1,700 kilometer jalan balak di Bahagian Kapit.

Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) di Kapit.


Sehubungan itu, Khusyairy yang juga Naib Pengerusi Mjalis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak menggesa Kerajaan Negeri menjelaskan secara terperinci pelaksanaan pengambilalihan 1,700 kilometer jalan balak itu.


Menurut beliau, Kerajaan Negeri wajar menyenaraikan laluan yang terlibat mengikut rumah panjang serta kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan, melibatkan DUN Pelagus, Katibas, Bukit Goram, Baleh, Belaga dan Murum.


"Adakah kerajaan Sarawak melalui Unit Perancang Ekonomi Sarawak telah mengemukakan permohonan dana Program Jalan Luar Bandar (JALB) kepada kerajaan Persekutuan?


"Demi mempercepatkan proses pewartaan jalan balak sebagai jalan awam negeri, sementara menunggu mendapatkan kelulusan dana daripada kerajaan pusat, adakah kerajaan Sarawak memberi peruntukan khusus di bawah Belanjawan Inklusif Sarawak 2026 bagi membiayai pengambilalihan, penaiktarafan dan penyelenggaraan jalan-jalan balak yang akan diwartakan sebagai jalan awam negeri?" soal beliau.


Untuk rekod, kawasan pendalaman Sarawak biasanya dihubungkan dengan pekan berhampiran menggunakan jalan balak atau pengangkutan air.


Jalan balak peninggalan syarikat pembalakan tidak diselenggara, dan membahayakan pengguna terutama pada waktu cuaca buruk.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page