top of page

SARA naik RM16 bilion, Jualan RAHMAH MADANI naik RM750 juta

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
12 hours ago
2 min read

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion pada tahun depan, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun yang akan memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.


"Selain itu, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa kemerdekaan.


"Ini akan memanfaat sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40. Kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan SARA untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah FAMA di seluruh negara.


"Setakat ini, rakan niaga SARA berjumlah 15,000 premis termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.


"Sebelum akhir tahun ini, insya-Allah, kerajaan akan meningkatkan jumlah kedai runcit kecil yang terbabit kepada 10,000," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.


Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta dengan sasaran sebanyak 35,000 penganjuran.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 30,000 Jualan RAHMAH akan dilaksanakan membabitkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan penganjuran Jualan RAHMAH di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.


"Penganjurannya bukan sahaja melalui kedai runcit biasa, malah turut membabitkan penggunaan mesin layan diri. Selain itu, Jualan RAHMAH MADANI Borong turut dianjurkan bagi membantu peniaga kecil.


"Sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI turut dilaksanakan dengan menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30% lebih murah.


"Pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman turut diperluas dengan peruntukan sebanyak RM250 juta," katanya lagi.


Inisiatif itu meliputi enam lokasi baharu termasuk Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato' Godam, Pusa, Sarawak.


Turut diumumkan Anwar ialah had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010 dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 dan kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.


Katanya, banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18% manakala banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24%


"Pelepasan cukai individu turut diperluas. Rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin. Penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan. Peralatan sukan meliputi pembelian kasut sukan.

"Pada masa yang sama, kerajaan mengambil pendekatan progresif dengan kadar cukai bagi individu berpendapatan tinggi, iaitu melebihi RM1 juta, diselaraskan kepada 30%.


"Ini bermakna kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai," ujarnya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page