top of page

Sambutan luar biasa di Jengka: Bukti warga FELDA yakin terhadap Kerajaan MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
Keterujaan warga FELDA menyambut PM Anwar melambangkan keyakinan mereka terhadap Kerajaan Madani
Keterujaan warga FELDA menyambut PM Anwar melambangkan keyakinan mereka terhadap Kerajaan Madani

Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan sempena ulang tahun ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak kelmarin berlangsung meriah dengan kehadiran puluhan ribu warga peneroka dari seluruh negara.


Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, beliau mengikuti keseluruhan program dari awal hingga tamat dan menyaksikan sendiri sambutan luar biasa yang diberikan kepada Perdana Menteri serta setiap pengumuman yang menyentuh kebajikan warga FELDA.


Menurut beliau, suasana di stadium dipenuhi hadirin sehingga melimpah ke kawasan luar, manakala kemeriahan berterusan dalam majlis jamuan bersama warga peneroka selepas acara rasmi.


Katanya, setiap pengumuman Perdana Menteri berkaitan masa depan FELDA disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan, sekali gus mencerminkan keyakinan peneroka terhadap komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh institusi itu.


Suhaimi berkata, antara komitmen terbesar yang diumumkan ialah hampir RM2 bilion bagi menyelesaikan hutang dan meningkatkan pendapatan peneroka, selain RM620 juta untuk agenda perumahan termasuk pelaksanaan konsep 2 Rumah 1 Lot (2R1L) serta pembangunan Lot Generasi FELDA.

Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

Kerajaan turut memperuntukkan RM450 juta bagi menaik taraf dan membina rumah baharu untuk petugas FELDA serta RM28.85 juta bagi memperkukuh komuniti FELDA melalui program literasi digital, baik pulih sekolah dan penubuhan Skuad Maya FELDA.


Bagaimanapun, beliau kesal apabila terdapat segelintir portal berita dan pengendali media sosial yang didakwanya mengabaikan keseluruhan pengumuman berkenaan.


Sebaliknya, mereka memilih memetik cebisan rakaman di luar konteks bagi membina naratif sensasi sehingga fakta sebenar mengenai manfaat yang diumumkan kepada warga FELDA tenggelam daripada perhatian umum.


Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai contoh apabila agenda politik mengatasi etika kewartawanan.


Menurutnya, fakta diketepikan, konteks dipadam dan persepsi dijadikan seolah-olah kebenaran, sedangkan usaha memperkecilkan program yang menghimpunkan puluhan ribu warga FELDA itu sebenarnya menghina kebijaksanaan masyarakat peneroka yang hadir dan menyaksikan sendiri perjalanan majlis.


Suhaimi yang berasal daripada keluarga besar FELDA berkata, beliau memahami denyut nadi masyarakat peneroka kerana ramai sanak-saudaranya menetap di tanah rancangan.


Katanya, warga FELDA bukan golongan yang mudah dipengaruhi propaganda, sebaliknya mereka menilai sesuatu berdasarkan rekod pentadbiran, dasar yang dilaksanakan dan manfaat sebenar yang diterima dalam kehidupan harian.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak memperalatkan warga FELDA demi kepentingan politik sempit.


Katanya, masyarakat peneroka berhak menerima laporan yang adil, beretika dan berpaksikan fakta kerana mereka sendiri menyaksikan Sambutan Hari Peneroka FELDA sempena ulang tahun ke-70 berlangsung dengan penuh semangat serta membawa pelbagai berita baik kepada komuniti FELDA.


"Kebenaran tidak akan tenggelam dengan propaganda. Sebanyak mana sekalipun persepsi cuba dibina, fakta di lapangan tetap menjadi ukuran yang sebenar," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page