Sambutan hebat pengundi DUN Senggarang tingkatkan peluang PH - Onn
- Akmal Manaf

- Jul 2
- 2 min read

Sambutan luar biasa yang diterima Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang sepanjang tempoh berkempen, memberi keyakinan kepada calon dari KEADILAN bahawa gelombang sokongan rakyat bakal diterjemahkan kepada kemenangan pada 11 Julai nanti.
Calon PH DUN Senggarang, Onn Abu Bakar menyifatkan, sambutan yang diterima beliau sepanjang tempoh berkempen di DUN itu di luar jangkaan apabila ramai pengundi menyatakan sokongan secara langsung dan tidak langsung.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, walaupun sebahagian penyokong memilih untuk tidak menonjolkan diri secara terbuka, beliau menerima mesej sokongan menerusi aplikasi Whatsapp hampir setiap hari daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pendidik, imam masjid dan ketua kampung yang mendoakan kemenangan PH pada 11 Julai ini.
"Penerimaan masyarakat terhadap PH sepanjang berkempen sangat luar biasa, di luar jangkaan. Respons daripada pengundi-pengundi khususnya di DUN Senggarang (memang) agak luar biasa, cuma mereka ini tak nak ke depan menonjolkan diri.
"Jadi, yang itu saya tak ada berkempen pun, (tetapi) mereka yang berkempen untuk saya. Mudah-mudahan (inisiatif) pengundi-pengundi ini berterusan sehingga 11 Julai nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sela-sela jadual kempennya di DUN Senggarang malam tadi.
Susulan perkembangan positif itu, Onn optimis kemenangan akan memihak kepada PH pada pilihanraya kali ini, termasuk di DUN Rengit dan DUN Penggaram yang bersebelahan.
"Saya yakin, InsyaAllah (Senggarang) dan Rengit pun InsyaAllah (boleh menang). Parlimen Batu Pahat juga tidak asing bagi saya. Dari Penggaram, Senggarang dan Rengit semua DUN saya santuni.
"Pengundi Cina di Senggarang yang mempunyai anak-anak dan saudara-mara bekerja di Singapura turut memberikan respons, malah ramai dalam kalangan mereka menyatakan hasrat untuk pulang mengundi pada 11 Julai nanti.
"Mereka akan pulang beramai-ramai bagi memastikan kemenangan kepada PH," ujarnya lagi.
DUN Senggarang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Onn, calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Mohd Yusla Ismail daripada Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi berkenaan.




Comments