Rumah terbuka KEADILAN Sarikei perkukuh sokongan kepada Kerajaan MADANI
- Redzuan Shamsudin
- 10 hours ago
- 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Sarikei berjaya menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Zon Tengah Sarawak di kediaman Ketua Cabang KEADILAN Sarikei di Sungai Petai, baru baru ini yang berlangsung meriah dalam semangat perpaduan dan kebersamaan.
Menurut Ketua Cabang Sarikei, Bruce Yee Chin Kui, majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Abun Sui Anyit serta Naib Presiden KEADILAN Malaysia merangkap Ketua Cabang Baram, Roland Engan sebagai tetamu kehormat.
Selain itu, katanya, majlis tersebut menghimpunkan wakil daripada sepuluh cabang KEADILAN di Sarawak iaitu Miri, Baram, Tanjong Manis, Hulu Rajang, Selangau, Sibu, Lanang, Kanowit, Sarikei dan Saratok, dengan kehadiran hampir 500 orang termasuk pimpinan cabang, veteran parti serta penyokong.
Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, pemberian angpau serta jamuan makan tengah hari yang mengeratkan hubungan antara pimpinan parti dan masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, Abun Sui menegaskan bahawa Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, telah meletakkan negara di landasan yang tepat.
"Kemasukan pelaburan asing yang berterusan, pertumbuhan ekonomi yang stabil, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, peningkatan peluang pekerjaan serta pemberian bantuan tunai seperti STR dan SARA yang tertinggi dalam sejarah kepada golongan berpendapatan rendah membuktikan komitmen kerajaan yang berteraskan rakyat," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa KEADILAN Sarawak sentiasa berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak autonomi negeri, termasuk melalui “Deklarasi Kuching” pada tahun 2012.
"Perdana Menteri merupakan antara pemimpin paling komited dalam merealisasikan semangat desentralisasi dan pemerkasaan hak negeri.
"Saya menyeru semua anggota parti dan rakyat agar terus bersatu mempertahankan kestabilan Kerajaan MADANI serta memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri," ujarnya.
Sementara itu, Roland Engan mahu anggota dan penyokong parti agar terus bersatu sebagai tulang belakang yang kukuh kepada Presiden parti demi memastikan setiap dasar dan inisiatif MADANI dapat dilaksanakan secara efektif hingga ke peringkat akar umbi.
"KEADILAN Sarawak sentiasa konsisten memperjuangkan hak rakyat, khususnya dalam membantu masyarakat pribumi Sarawak mempertahankan hak tanah adat mereka," katanya.
Sambutan hangat dan kehadiran memberangsangkan pada majlis itu jelas menunjukkan keyakinan rakyat Sarawak terhadap Kerajaan MADANI, selain memperlihatkan iltizam kukuh KEADILAN Zon Tengah Sarawak untuk terus bergerak maju bersama rakyat.
