Rozy tekad angkat suara rakyat DUN Buloh Kasap
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N01 Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit menzahirkan penghargaan kepada penyokong, sukarelawan dan jentera parti yang hadir sempena proses penamaan calon semalam.
Menurutnya, beliau kini membawa amanah memperjuangkan aspirasi rakyat serta mendengar denyut nadi masyarakat di Buloh Kasap.
"Terima kasih kepada semua yang hadir seawal pagi, meluangkan masa, tenaga dan doa. Kehadiran setiap seorang menjadi sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan ini," kata Exco Wanita KEADILAN Pusat itu.
Pada PRN kali ini, Noraziah atau mesra disapa Rozy Razit berhadapan langsung dengan Zahari Sarip yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Beliau sebelum ini menzahirkan tekad yang tinggi untuk memastikan masa depan warga Buloh Kasap terus berkembang melalui penyediaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran, sokongan perniagaan kecil, program belia, serta ruang bagi anak muda bersuara.
"Buloh Kasap bukan sekadar sebuah kawasan pilihanraya, tetapi sebuah keluarga besar yang wajib dijaga, dibela dan dibangunkan bersama," katanya.
Rozy sementara itu berharap setiap usaha yang dilaksanakan sepanjang kempen dipermudahkan dan diberkati.
Beliau turut menyatakan komitmen menjadikan setiap pertemuan sepanjang kempen sebagai ruang mendengar, memahami serta berkhidmat kepada penduduk dengan penuh keikhlasan.
"Kemenangan bukan hanya diukur pada keputusan akhirnya, tetapi pada sejauh mana kita mampu menyentuh hati rakyat dan membina harapan untuk masa depan.
"Demi Buloh Kasap. Demi sebuah masa depan yang lebih baik untuk semua," katanya.




Comments