top of page

RM300 juta: Penjelasan KKDW patahkan naratif Akmal Salleh - Saifuddin

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Penjelasan rasmi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung peruntukan RM300 juta diluluskan kepada kementerian itu bercanggah hujah Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegaskan, isu sebenar bukan mengenai kewujudan mekanisme peruntukan tambahan sebaliknya penjelasan awam yang seharusnya konsisten dengan isu tersebut.


"Saya ambil maklum penjelasan Saudara Akmal bahawa perbelanjaan kementerian yang melebihi peruntukan asal boleh berlaku melalui mekanisme peruntukan tambahan. Prinsip itu tidak dipertikaikan.


"Namun, isu sebenar ialah penjelasan rasmi Setiausaha Akhbar Menteri KKDW sendiri tidak selari dengan hujah Saudara Akmal.


"Saudara Akmal tidak boleh mempertahankan isu ini dengan mengatakan “kementerian lain juga menerima bajet tambahan” apabila KKDW sendiri menjelaskan bahawa jumlah RM300 juta yang dipersoalkan bukan peruntukan tambahan," katanya dalam kenyataan.


Saifuddin sementara itu menegaskan, dalam urusan kewangan negara, istilah bukan perkara kecil.


Jelasnya, terma peruntukan asal, peruntukan tambahan, pindahan peruntukan, Surat Kuasa Berbelanja dan perbelanjaan sebenar membawa maksud serta implikasi yang berbeza.


"Sebab itu angka daripada kategori yang berlainan tidak boleh dicampur aduk semata-mata untuk membina satu kesimpulan politik. Apa-apa perbandingan yang mencampurkan kategori berbeza hanya akan mengelirukan rakyat," tegasnya.


Sementara itu Saifuddin berkata, rekod rasmi Kementerian Kewangan menunjukkan KKDW merupakan antara kementerian yang menguruskan peruntukan sangat besar.


Justeru beliau menegaskan, apabila hampir RM12 bilion wang rakyat diuruskan dalam satu tahun, tahap ketelusan juga mesti setimpal dengan jumlah tersebut.


"KKDW wajar membentangkan secara terbuka kedudukan sebenar peruntukan asal, segala pindaan atau tambahan, jumlah yang disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja, perbelanjaan sebenar serta pecahan program yang menerima dana tersebut.


"Ketelusan ini juga mesti meliputi keseluruhan kos struktur Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).


"Rakyat berhak mengetahui jumlah keseluruhan perbelanjaan, mekanisme pelantikan, komposisi serta asas pemilihan ahli kedua-dua struktur berkenaan," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page