top of page

RCI TH: Titah Agong siasatan menyeluruh, telus dijunjung - Dr Zulkifli

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Aug 9
1 min read

Dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilanjutkan dengan siasatan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, titah Seri Paduka Baginda itu mencerminkan kepentingan memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara.


"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan agar siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh, telus, dan tanpa sebarang kompromi," katanya dalam kenyataan media.


Menurut beliau, tindakan tegas dan saksama berlandaskan undang-undang wajar dikenakan terhadap mana-mana individu atau entiti yang didapati bersalah melanggar amanah dan prinsip tadbir urus.


"Kerajaan tidak akan bertolak ansur dan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit TH," katanya.


Zulkifli berkata, setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan yang disyorkan dalam laporan RCI akan diperincikan dengan teliti bagi memastikan struktur tadbir urus TH diperkemaskan ke tahap tertinggi.


Beliau berkata, komitmen itu penting bukan sahaja bagi menegakkan keadilan dan akauntabiliti, malah memastikan kelemahan atau kesilapan terdahulu tidak berulang pada masa hadapan.


"JPM (Hal Ehwal Agama) bertekad untuk memastikan TH terus kekal sebagai sebuah institusi pengurusan haji yang kukuh, berintegriti, dan sentiasa mendapat kepercayaan penuh seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page