RCI TH: Mengapa 'kambing hitam' Anwar, RCI siasat, siap era PN?
- Akmal Manaf

- 18 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dipersalahkan oleh pihak yang kononnya memperjuangkan isu Melayu berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kerana proses penubuhan dan siasatan itu berlaku ketika beliau bukan sebahagian daripada kerajaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ketika RCI ditubuhkan pada 15 Julai 2021 dan proses siasatan berjalan, Anwar hanyalah Ahli Parlimen Port Dickson dan Ketua Pembangkang.
Anwar, katanya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penubuhan RCI, pelantikan panel mahupun terma rujukan suruhanjaya tersebut.
"Saya rasa tidak adil nak menyalahkan beliau. Masa Perikatan Nasional (PN) tadbir, Anwar jadi Ketua Pembangkang.

"Kenapa Tambun (Anwar) yang nak dipersoalkan? Kalau dia salah, ya dia salahlah. Kalau dia tak salah, buat apa nak aniayai dia," katanya dalam satu siaran video.
RCI telah ditubuhkan pada era pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Manakala laporan RCI siap ketika era pentadbiran PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Hassan, beliau perlu menjelaskan perkara itu memandangkan banyak pihak mempersoalkan mengapa laporan RCI TH tidak didedahkan lebih awal.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, PN merupakan kerajaan yang menentukan penubuhan RCI berkenaan, malah laporan tersebut telah siap ketika mereka masih memerintah pada Julai 2022, namun tidak didedahkan kepada umum pada ketika itu.
"Tapi (bila) Anwar dedah lambat, dia marah pula. Anwar sudah jadi kerajaan (kemudian) tiga tahun baru nak dedahkan, (kononnya satu) kesalahan besar (pada mereka).
"Laporan (RCI) itu sampai ke pejabat awak (ketika PN jadi kerajaan masa itu) kenapa tak dedahkan?
"Kenapa tak seminggu atau dua minggu pertama (dedahkan laporan itu?). Saya rasa kecewa sebagai seorang Melayu-Islam dan pendeposit TH, (nampak mereka) depan mata saya keluar (dari Dewan Rakyat) dan boikot (sidang khas RCI TH).
"Pembangkang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak berlaku adil kepada orang Melayu-Islam dan pendeposit TH (dengan) cuba nak menyalahkan Kerajaan MADANI sekarang," katanya lagi.
Hassan yang juga pimpinan KEADILAN turut mengimbas kembali ketika PN memerintah, sebahagian daripada pemimpin Umno dan Pas yang kini lantang mempersoalkan isu berkenaan merupakan menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan pada ketika itu.
Katanya, jika terdapat persoalan mengenai keputusan pemindahan aset Tabung Haji kepada syarikat di bawah Kementerian Kewangan pada waktu kerajaan Pakatan Harapan 1.0 berkuasa, pihak yang terlibat dalam proses berkenaan sepatutnya diminta memberikan penjelasan, bukannya menjadikan Anwar dijadikan ‘kambing hitam.’
"Kenapa tidak minta Tun Mahathir (PM) dan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan ketika itu) jelaskan? Yang (membuat keputusan) untuk pindah-pindahkan aset dan mendakwa ia sebagai langkah penyelamatan, bukan Anwar.
"Kalau mereka salah, carilah mereka berdua, kenapa pula Anwar yang hendak dijadikan kambing hitam?," soal beliau lagi.
Untuk rekod, RCI ditibuhkan pada 14 Julai 2021 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). Objektif dan skop siasatan ditetapkan pada 8 Oktober 2021, iaitu meneliti isu Tabung Haji antara 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan PwC, EY dan Roland Berger, menentukan sama ada terdapat perbuatan menyembunyikan maklumat atau memberi kenyataan mengelirukan, serta mengesyorkan tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
RCI ditubuhkan kerana terdapat dakwaan serius bahawa kerajaan PH sebelum itu memindahkan aset milik orang Islam, anak syarikat TH kepada bukan Islam melalaui anak syarikat Kementerian Kewangan.




Comments