RCI TH: Jangan jadikan Melayu-Islam perisai kesalahan manusia
- Suara Keadilan

- 51 minutes ago
- 2 min read

Isu rasuah tidak seharusnya dikaitkan dengan bangsa atau agama, sebaliknya perlu ditangani berdasarkan prinsip keadilan dan integriti.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengulas kenyataan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang, berhubung kes salah urus Tabung Haji (TH) yang memperlihatkan kecenderungan pemimpin Pas itu mengheret persoalan integriti kepada polemik kaum dan agama.
"Kalau rasuah itu haram, mengapa pesalah perlu dibahagikan mengikut Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam? Rasuah tidak ada bangsa. Rasuah tidak ada agama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, pemberi rasuah, penerima rasuah, orang tengah dan pihak yang melindungi amalan rasuah semuanya perlu dipertanggungjawabkan tanpa mengira latar belakang.
"Tidak ada dalam prinsip keadilan Islam bahawa rasuah menjadi kurang salah kerana pelakunya Melayu, dan tidak pula menjadi lebih salah kerana pelakunya bukan Melayu.
"Jangan ubah isu amanah menjadi isu identiti," katanya.
Mahfuz berkata Tabung Haji merupakan institusi yang dekat dengan umat Islam dan usaha membongkar persoalan pengurusan serta tadbir urusnya tidak bermaksud menghina Islam.
Beliau berkata perkara yang disiasat ialah pengurusan manusia, manakala perkara yang perlu dipertahankan ialah amanah umat Islam.
"Jangan campurkan antara kesucian Islam dengan kesilapan manusia yang mengurus institusi Islam.
"Islam tidak pernah mengajar kita menutup dan lindungi kesalahan manusia kerana takut nama Islam tercalar. Sebaliknya, amanah wajib dipelihara," katanya.
Mengulas mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, Mahfuz mempersoalkan tindakan mempersoalkan hasil siasatan itu selepas proses RCI dilaksanakan.
Tegas mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sekiranya Pas mahu membangkitkan isu Melayu-Islam, mengapakah parti itu tidak membantahnya sewaktu masih berada dalam kerajaan pada 2020 - 2022 lalu. Mengapa selepas RCI didedahkan pada 2026, tiba-tiba dapatan suruhanjaya itu cuba dibingkaikan sebagai serangan terhadap Melayu Islam.
Mahfuz berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan dapatan RCI seharusnya menjawabnya berdasarkan fakta, bukti dan hujah, bukannya membingkaikan perbahasan mengenai tadbir urus sebagai serangan terhadap Melayu-Islam.
"Jangan pecahkan cermin kerana tidak suka melihat wajah muka kita yang banyak jerawat batu kerana memecahkan cermin tidak akan membersihkan muka dan menghilangkan jerawat batu.
"Begitu juga laporan RCI. Jangan salahkan cermin kerana menunjukkan kotoran dan jerawat batu. Bersihkanlah kotoran dan jerawat batu itu," katanya.
Menurutnya, membongkar kelemahan Tabung Haji bukan tindakan mengaibkan Melayu-Islam, sebaliknya usaha membetulkan kelemahan dan merupakan langkah menjaga maruah dan masa depan umat Islam.
Mahfuz turut memberi amaran terhadap kecenderungan menjadikan identiti Melayu dan Islam sebagai perisai apabila seseorang dipersoalkan berkaitan rasuah atau kesalahan.
"Islam itu suci. Pengurus institusi Islam ialah manusia. Manusia tidak maksum. Yang paling berbahaya ialah apabila identiti Melayu dan Islam dijadikan perisai.
"Kita mesti menolak pemikiran bahawa apabila seseorang Melayu atau Islam terpalit isu rasuah, maka kritikan terhadap amalan rasuahnya dianggap serangan terhadap Melayu-Islam," katanya.
Mahfuz berkata maruah Melayu-Islam tidak terletak pada kemampuan menyembunyikan kelemahan, sebaliknya pada keberanian mengakui kesilapan, membetulkan kelemahan dan memastikan amanah umat tidak disalahgunakan.
"Tabung Haji tidak hina kerana RCI mencari kebenaran. Tabung Haji akan lebih mulia apabila amanahnya diperbaiki.
"Jangan gunakan Islam sebagai perisai kepada kesalahan manusia. Islam tidak takut kepada kebenaran. Yang patut takut ialah mereka yang mahu kesalahan manusia dilindungi atas nama Islam," katanya.
Untuk rekod, dalam tulisan terbaharu Hj Hadi, beliau mendakwa banyak kegiatanrasuah dilakukan oleh bukan Islam, sementara yang diambil tindakan adalah ke atas golongan Melayu-Islam yang terlibat dalam jabatan kerajaan, biarpun jumlah mereka lebih sedikit kerana katanya Melayu-Islam majoritinya kukuh akidah dan iman, percaya adanya dosa rasuah di sisi Allah.




Comments