RCI TH: Dr Aziz Bari persoal reaksi janggal Umno, Pas
- Azuan Ab Rahman

- 21 minutes ago
- 1 min read

Mantan profesor undang-undang Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) menggesa Umno dan Pas menghentikan polimik terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Menerusi satu kenyataan beliau berkata, reaksi kedua-dua parti itu selepas laporan RCI didedahkan kepada umum dilihat janggal, terutama apabila Pas memboikot sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan itu.
Dalam kenyataan sama Exco Perak itu turut mempersoal penganjuran seminar yang mempertikaikan dapatan suruhanjaya siasatan berkenaan baru-baru ini.
"Tidak pernah berlaku sebelum ini kita saksikan tindakan boikot yang dilakukan Pas di Parlimen serta seminar mempertikai dapatan sebuah Suruhanjaya Diraja," katanya.
Dr Aziz Bari yang juga Naib Pengerusi DAP Perak sementara itu menegaskan, isu Tabung Haji bukan sekadar membabitkan kepentingan umat Islam, sebaliknya turut memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan apabila langkah menyelamatkan institusi itu turut melibatkan wang pembayar cukai.
Beliau turut mengingatkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya tindakan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam isu berkenaan dan mereka yang bertanggungjawab dicari hingga “ke lubang cacing”.
"Umno dan Pas perlu menerima hakikat RCI tersebut ditubuhkan dan laporannya disiapkan ketika kedua-dua parti itu berada dalam kerajaan sebelum ini.
"Suruhanjaya itu menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, justeru dapatan yang dikemukakan perlu dihormati.
"Masa untuk siasatan sudah berlalu dan sekarang adalah masa untuk bertindak," tambahnya.
Laporan RCI Tabung Haji menjadi perhatian selepas kerajaan mendedahkan hasil siasatan berhubung pengurusan dan kedudukan kewangan institusi itu kepada umum, susulan desakan pelbagai pihak.




Comments