top of page

RCI TH bakal dedah hal sebenar, tetapi tiada kuasa pendakwaan - Hassan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
Jul 27
2 min read

Di sebalik penantian terhadap pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (LTH) minggu ini, antara persoalan yang timbul ialah sama ada individu yang dinamakan dalam laporan itu akan didakwa secara automatik di mahkamah.


Menjawab persoalan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) berkata, pendakwaan tidak berlaku secara automatik kerana RCI tidak mempunyai kuasa mendakwa atau menghukum.


Sebaliknya, beliau menjelaskan RCI hanya satu badan pencari fakta dan badan penasihat, bukannya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk mendakwa atau menghukum.


"Pendedahan laporan RCI ini bagus (tetapi) ia bukan mahkamah undang-undang. Rakyat jangan mempunyai harapan yang (terlalu) tinggi.


"Kenapa laporan RCI tidak menghasilkan pertuduhan jenayah serta-merta? Saya mendapati RCI ini tidak ada kuasa kehakiman (judicial power). RCI tiada kuasa seperti mahkamah.


"Jadi kita boleh bertanya RCI ini ada kuasa apa? RCI ada kuasanya (tersendiri). Punca kuasanya datang dari mana? Punca kuasa yang membolehkan RCI ini beroperasi datangnya daripada satu akta sebelum merdeka lagi iaitu Akta Suruhanjaya Siasatan 1950," katanya menerusi satu siaran video soal jawab berkaitan persoalan yang timbul.


Menjawab persoalan mengenai kuasa RCI, Hassan berkata panel RCI yang menyiasat LTH mempunyai kuasa untuk mengeluarkan saman dan memanggil saksi bagi memberikan keterangan, sebagaimana yang telah dilaksanakan sepanjang prosiding siasatan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan RCI tidak mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa mahupun menghukum mana-mana individu.


"Persoalan lain iaitu mengapa begitu terhad kuasa yang ada pada RCI? Jawapannya ialah di bawah undang-undang Malaysia, kenyataan yang diberi oleh saksi-saksi semasa prosiding RCI lazimnya tidak boleh digunakan secara langsung sebagai bukti atau keterangan jenayah terhadap mereka dalam satu perbicaraan kelak.


"Siapa yang ada kuasa untuk mendakwa di mahkama hasil laporan RCI LTH di mahkamah yang akan didedahkan selewat-lewatnya 29 Julai ini?


"Jawapannya ialah kuasa untuk mendakwa orang yang disyaki melakukan jenayah dalam laporan RCI ini ialah Peguam Negara yang merupakan pendakwa raya di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page