RCI TH: Ambil iktibar kelemahan tatakelola, integriti – Dr Zulkifli Hasan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Semua pihak digesa mengambil iktibar daripada kelemahan serta kesilapan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti didedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar), berkata kerajaan menerima pelbagai pandangan dan teguran, malah kecaman daripada Ahli Parlimen pada Sidang Khas mengenai RCI itu, walau bagaimanapun hasrat mengadakan sidang tersebut bertujuan memperjelas laporan RCI berkenaan kepada Dewan Rakyat dan umum.
"Apa yang kerajaan cuba lakukan adalah menceritakan, menjelaskan dan mencerahkan laporan RCI, tidak lebih daripada itu.
"Kita perlu belajar daripada kelemahan dan kesilapan. RCI itu pun menunjukkan, antara punca kepada kegagalan dan kelemahan (TH) adalah tatakelola serta integriti," katanya dipetik di ucaptama program Multaqa Sidr Kewangan Sosial Islam (MULTAQA2026), di Kuala Lumpur semalam.
Sidang Khas tersebut berlangsung lebih 10 jam bagi membincangkan dan membahaskan Laporan RCI TH, membabitkan pengurusan dan operasi institusi itu dari 2014 hingga 2020.
Sidang berkenaan membabitkan penerangan oleh Zulkifli, dibahaskan oleh 39 Ahli Parlimen, sebelum penggulungan oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.




Comments