top of page

Rasuah REE: Bekas Setiausaha Politik MB Sanusi diarah bela diri

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 hours ago
  • 1 min read

Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab (gambar) diarah membela diri atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah.


Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pemimpin Pas itu.


Dipetik laporan media, Suzana turut menetapkan empat hari bermula 9 Okt ini bagi prosiding bela diri.


Terdahulu, Mohamad Hilmi dituduh meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 43, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 37.


Ia sebagai dorongan bagi beliau, yang ketika itu Setiausaha Politik Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, membantu syarikat berkenaan mendapatkan kelulusan berkaitan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar Kedah.


Pada 20 Nov 2023, Mohamad Hilmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut serta satu lagi dakwaan menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama bagi tujuan sama pada 11 Julai 2023.


Mohamad Hilmi dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page