Oleh: Abdullah Zaid
Pelaksanaan pelan pembayaran terbuka atau open payment bagi semua rangkaian Rapid Rail bakal dikuatkuasa pada tahun 2025.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata sistem baharu itu, memperkenalkan penggunaan kad debit dan kad kredit sebagai mod pembayaran tambahan di setiap stesen.
Jelasnya Loke, pelan itu memberi manfaat kepada pengguna di semua laluan aliran ringan ringan (LRT) termasuk MRT laluan Kajang, Putrajaya dan Monorel.
"Kerja-kerja ‘Design and Development’ (reka bentuk dan pembangunan) dijangka mula pada Mac 2024.
"Selain itu, Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.
"Sehubungan itu, kementerian menjangkakan pada Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap," katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Wong Chen (PH-Subang) Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke bercadang untuk memperkembangkan penggunaan mod pembayaran yang lain seperti kod QR mengikut kesesuaian semasa dan permintaan semasa.
"Sekiranya perlu, sistem ini akan diperkembang dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran lain seperti kod QR dalam fasa pelaksanaan seterusnya," ujar beliau.
Menyentuh soalan tambahan Wong Chen berkenaan cadangan pemberian diskaun bagi pengguna kad debit dan kad kredit, Loke menjelaskan pada ketika ini pakej My50 untuk tambang bulanan sudah memadai.
"Bagi saya, ini cukup memadai (My50), murah dan saya berani kata ini adalah ‘multi pass’ (kad tanpa had) yang paling murah di dunia bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia," ujarnya.
Kommentarer