Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Berhentilah 'bersosek-sosek' mengenai isu kantin sekolah yang dibuka sepanjang bulan Ramadan.
Tiada manafaatnya isu-isu begini dijadi bahan cercaan apatah lagi jika dipolitikkan untuk meraih populariti.
Ramadan yang indah akan bertambah seri serta penuh keberkatan jika semua pihak khasnya ibu bapa, pendidik serta warga maya memaknai bulan yang mulia ini dengan aktiviti berfaedah.
Seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kantin sekolah tetap beroperasi seperti biasa bagi memudahkan pelajar bukan beragama Islam untuk mendapat makanan semasa waktu rehat.
Jadi apa yang 'salahnya' jika kantin sekolah dibuka?
Paling penting adalah proses untuk memahamkan pelajar bukan Islam mengenai ibadah yang dijalani oleh rakan beragama Islam agar mereka saling hormati antara satu sama lain.
Guru mahir selesaikan isu
Pastinya ramai guru-guru mempunyai pengalaman menguruskan sebarang isu berkaitan proses pendidikan ini yang menjadikan Ramadan ini indah.
Pengurusan sekolah yang bijak pasti boleh menyusun masa rehat pelajar beragama Islam dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah serta digemari pelajar.
Contohnya, galakkan pelajar menyertai tadarus, menghafal ayat-ayat lazim yang pendek dan mendengar ceramah keberkatan Ramadan.
Pelajar boleh penuhi masa rehat
Selain itu juga, pelajar boleh menyertai bengkel-bengkel kreatif yang mengembangkan potensi mereka.
Bengkel seperti membuat kad ucapan raya untuk keluarga, jiran dan sahabat-sahabat.
Lagi banyak aktiviti akan memperlihatkan betapa Ramadan itu amat indah dan pasti menjadi memori manis untuk pelajar-pelajar yang terlibat.
Ramadan bulan mendidik jiwa untuk menjadi insan yang lebih budiman.
Usahlah merosakkan jiwa dengan isu-isu yang tidak memotivaskan, khasnya kalangan anak-anak yang masih jauh laluan hidup mereka.
Selamat meneruskan ibadah puasa.
_____________________________________________________________________________
Penulis juga ada Ketua Wanita Penerangan KEADILAN Pusat
Comments