Rakyat sokong larangan minum arak di pantai Port Dickson
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Tular sebuah video dalam media sosial baru-baru ini beberapa individu yang merupakan penyokong BN mempertikaikan peraturan larangan minum arak di Pantai Port Dickson yang dikuatkuasa oleh Kerajaan Negeri Sembilan sejak Julai 2025.
Suara Keadilan menemuramah penduduk tempatan dan pengunjung di pantai Port Dickson bagi mendapatkan respon berkaitan isu berkenaan.
Mohd Azrin Amran, 50, dari Lukut, Port Dickson menyambut baik peraturan larangan minum arak di Pantai Port Dickson yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (Tok Min) sejak tahun 2025.

Beliau berkata, ia tidak mendatangkan masalah kepada pelancong dan sebenarnya larangan minum arak di pantai Port Dickson tiada kena mengena dengan pelancongan.
"Sebab sepanjang saya tinggal dan lihat di sini, tak ada pelancong terutamanya dari luar negara yang minum arak di merata-rata tempat.
"Dia akan minum arak di hotel. Yang suka minum arak di tepi pantai ini biasanya orang tempatan sahaja," jelas Mohd Azrin.
Menurut Azrin lagi, dari satu lagi sudut, kalau ada pihak yang buat tuduhan kononnya kedatangan pelancong merosot disebabkan larangan minum arak di pantai, perlu dibuktikan dengan statistik rasmi.
"Betul ke kehadiran pelancong merosot disebabkan larangan minum arak di Pantai Port Dickson?
"Saya tak rasa begitu. Lagi ramai pelancong datang.
"Sebenarnya pelancong ini bukan tengok sama ada boleh minum arak ke tidak. Dia tengok infrastruktur, pantainya bersih ke tidak, kemudahan tandas awam bersih atau tidak," kata Mohd Azrin lagi.
Ahmad Farhan, 28, dari Gemencheh, Tampin berpendapat sekiranya ada individu (bukan Islam) yang mahu minum arak, ada tempatnya dan bukannya di tempat awam seperti pantai.

"Arak ini kalau ikutkan bawah umur tak boleh minum. Kalau minum di tempat awam seperti Pantai Port Dickson ini, ia dibimbangi akan menjadi ikutan remaja pula.
"Larangan minum arak wajar diteruskan. Kebanyakkan pelancong kalau nak minum arak dia akan minum di hotel.
"Sebelum masuk Malaysia pun pelancong dah tahu Malaysia ini bukanlah negara yang mesra arak. Tak kan pelancong datang Malaysia semata-mata nak minum arak?
"Pelancong datang ke pantai ini lebih kepada rekreasi atau berkelah dan menghayati flora dan fauna," jelas Ahmad lagi.




Comments