Rakyat persoal bubar DUN Johor, kos pilihanraya lebih rendah jika bersama PRU
- Akmal Manaf

- 8 minutes ago
- 2 min read

Tindakan UMNO-Barisan Nasional (BN) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika Kerajaan Negeri masih kukuh dengan penguasaan 40 kerusi dipersoalkan apabila tiada krisis politik atau kehilangan majoriti yang memerlukan mandat baharu daripada rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad (gambar) berkata, dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan krisis global termasuk ketidaktentuan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan ekonomi serantau, Kerajaan Negeri sepatutnya memberi fokus kepada usaha berterusan memperkukuh serta menjamin kestabilan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat, berbanding mengheret rakyat dalam percaturan politik.
"Bangsa Johor hari ini mempersoalkan tindakan UMNO-BN membubarkan DUN ketika kerajaan sedia ada masih berada dalam keadaan stabil dengan penguasaan 40 kerusi DUN dan 12 kerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai pengimbang yang bila-bila masa boleh menyokong setiap dasar dan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Ketua Cabang Pulai itu, UMNO Johor perlu menjawab pertanyaan mengenai kos PRN yang mencecah hampir RM100 juta terpaksa ditanggung sedangkan kosnya lebih rendah sekiranya melibatkan pilihan raya umum (PRU) secara serentak.
"PRN Johor kali ini dijangka menelan kos sekitar RM90 juta wang rakyat, sedangkan jika DUN dikekalkan sehingga tamat tempoh pada April 2027, pilihan raya negeri dan pilihan raya umum boleh diadakan serentak dan menjimatkan kos serta tenaga pentadbiran.
"Penjawat awam tidak perlu dibebankan dengan proses pilihan raya berulang kali dalam tempoh singkat.
"Justeru, UMNO-BN perlu ambil tanggungjawab moral tampil memberi penjelasan yang jujur kepada bangsa Johor mengapa pembubaran DUN dibuat sekarang sedangkan tiada krisis politik, tiada kehilangan majoriti dan tiada keperluan mendesak untuk mendapatkan mandat baharu," katanya.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor dan keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN diikuti PH dengan 12 kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.




Comments