top of page

Rakyat perlu segera kuasai teknologi AI, ikuti perubahan - PM



Oleh: Helmi Mohd Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu seluruh rakyat terutamanya generasi muda agar cepat menguasai perkembangan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.


Perdana Menteri (PM) berkata teknologi tersebut perlu dikuasai seluruh kelompok rakyat bagi mengelakkan jurang besar antara golongan elit dan masyarakat pedalaman serta miskin bandar.


"Apa yang dilakukan oleh kerajaan terutamanya Kementerian Ekonomi adalah mengenal pasti masalah ini, mencari penyelesaian dan pastikan supaya dengan kerjasama Intel (syarikat mikrocip), AI tidak janggal bagi rakyat keseluruhannya.


"Penerokaan teknologi baharu seolah menggapai langit, ia sukar difahami tetapi tidak terlalu sukar bagi golongan muda menerima, kerajaan ambil insiatif dari awal. Kita baru (ini) luncurkan program transformasi digital supaya rakyat tidak ketinggalan," katanya ketika berucap merasmikan program AI Untuk Rakyat di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pagi tadi.


Hadir sama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.


AI Untuk Rakyat merupakan program pembelajaran kendiri dalam talian direka untuk meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap AI yang disediakan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin. Ia boleh diselesaikan dalam tempoh 4 jam melibatkan dua modul.


Ia dilakukan dengan kerjasama Intel dan MyDigital.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata teknologi AI perlu dikuasai mulai sekarang bagi membolehkan rakyat negara ini menguasai kelajuan perubahannya.


"Kita tidak ada waktu, saya harap universiti pastikan semua pelajar tanpa kecuali mesti ikuti program 4 jam dan tidak semesti orang itu dalam disiplin teknologi IT, AI merentasi disiplin, kementerian dan jabatan, satu kerugian besar jikalau tidak manfaat," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan dalam bidang AI tidak harus dibimbangi sebagaimana tercetus satu ketika dahulu apabila teknologi komputer diperkenalkan.


"Kita tidak pernah meninggalkan soal nilai dan jati diri...menggapai langit tetapi tetap mengakar di bumi," katanya sambil menambah bahawa terdapat kebimbangan sekiranya manusia sintetik akan kuasai manusia hingga hilang nilai keinsanannya.


Anwar berkata perkara itu telah dijawab sendiri oleh pakar AI bahawa ia terserah kepada kepakaran para sarjana tempatan dalam memasukkan elemen asas sejarah, budaya, agama, akhlak dan sistem nilai.


"Apa yang dihasilkan betapa canggih dan moden tidak akan terlepas masukkan nilai dan akhlak," tegasnya.


Jelasnya, perkara itu berlaku ketika meletus Revolusi Perindustrian sebelum ini tentang hilangnya kemanusiaan akibat asakan industri dan teknologi.


"Ia tidak hakis semua manusiawi, ia terserah kepada kita sama ada nak pertahankan akar di bumi dengan nilai asas yang baik," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page