top of page

Rai perbezaan pandangan menerusi wacana bebas, segar - PM



Perbezaan pandangan sama ada dalam bidang politik mahu pun agama perlu ditangani melalui wacana segar dan bebas.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam kunjungannya memenuhi jemputan Jabatan Mufti Negeri Perlis menyertai Program Perkampungan Sunnah di negeri itu semalam.


Anwar dalam syarahannya pada majlis itu menekankan agar umat Islam bangkit daripada kealpaan, kecuaian dan kelemahan jika mahu melihat perubahan yang sebenar.


Beliau menekankan mengenai era perobahan dan reformasi pada zaman kekhalifahan Islam yang turut mengutamakan tatakelola pentadbiran serta menangani rasuah yang sistemik sebagaimana yang dilakukan Kerajaan Madani hari ini.


"Ramai yang bicara soal warak dan zuhudnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila menelaah kepemimpinannya. Namun Umar Abdul Aziz juga adalah teladan yang baik dalam aspek kenegaraan, di mana beliau menekankan soal tatakelola dengan membenci dan menolak rasuah.


"Begitu juga kisah keagungan Salahuddin Al-Ayyubi yang banyak tertumpu pada kejayaannya dalam perang menawan Baitulmuqaddis, namun ditinggalkan kehebatannya mengatur tatakelola, mengimarahkan masjid sebagai tempat menyuburkan wacana serta amanah dan tidak merompak harta rakyat.


"Saya sambut baik pendekatan Jabatan Mufti Negeri Perlis yang menjemput saya hari ini bagi meraikan perbezaan pandangan menerusi wacana yang bebas dan segar.


"Dunia Islam suatu ketika dulu menjadi agung kerana wacana yang meluas di mana Khalifah mendengar pandangan yang berbeza, di samping membenarkan perbahasan sihat oleh ulama," katanya.


Anwar menyeru agar pertentangan pendapat diberi pencerahan segera dan tidak dibiarkan dibahas oleh para pempengaruh dan pemuka agama aliran tertentu di media sosial yang menyebabkan rakyat semakin terpesong serta bercanggah pendapat.


"Rakyat perlu dibiasakan dengan kefahaman supaya tidak pantas menghukum akibat didorong kedangkalan ilmu," katanya lagi.


Perkampungan Sunnah pada tahun ini di Perlis membawa slogan, "Jihad Memartabatkan Dakwah, Mempertahankan Ummah".


Perkampungan ini menerima peserta dari seluruh negara malah dari Indonesia, Singapura dan Kemboja turut dilaporkan hadir.


Acara yang masuk tahun kesembilan ini dibuat khusus pada setiap tahun bagi mengingatkan umat Islam berkenaan ajaran sunah Nabi Muhamad s.a.w yang sebenarnya dan menolak sebarang bidaah serta khurafat yang sejak ratusan tahun lalu bercampur baur dan diamalkan dalam ajaran Islam masyarakat Melayu Nusantara.


Turut mengiringi PM ialah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainal Abidin.


0 comments

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page