Pusat Koreksional Batu Gajah cipta rekod, 42 tamat kursus sokongan hayat
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Seramai 42 prospek di Pusat Koreksional Batu Gajah berjaya menamatkan Kursus Asas Sokongan Hayat (Basic Life Support - BLS) bersama latihan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) sekali gus mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Kursus pertama melibatkan penghuni pusat berkenaan yang dilaksanakan bersama Hospital Batu Gajah itu menjadi antara inisiatif pemulihan Jabatan Penjara Malaysia dalam memberi kemahiran baharu kepada prospek sebagai persediaan sebelum kembali ke masyarakat.
Pengarah Penjara Perak, Timbalan Komisioner Penjara Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, kursus tersebut merupakan usaha Jabatan Penjara memperluaskan pendekatan pemulihan prospek secara lebih menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan nilai kemanusiaan.
"Pelaksanaan kursus ini merupakan satu inisiatif signifikan yang selaras dengan aspirasi Jabatan Penjara dalam memperkasakan proses pemulihan prospek secara holistik," katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Penutup Kursus BLS dan AED Bersijil di Wisma Pegawai Penjara, Pusat Koreksional Batu Gajah semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Muhammad Najib Adnan; Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr Jayakumaran a/l Jayabalan; Pakar Kecemasan dan Trauma Hospital Batu Gajah, Dr Tirumal a/l Subramaniam; Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S. Tanabal a/l Socklingam serta pegawai MBOR dan tenaga pengajar Hospital Batu Gajah.
Menurut Fayrouz latihan yang diberikan bukan sekadar memberi kemahiran teknikal berkaitan bantuan kecemasan, malah mampu membentuk sikap bertanggungjawab dan keyakinan diri dalam kalangan prospek.
"Program sedemikian bukan sahaja membekalkan kemahiran teknikal yang amat bernilai, malah turut membentuk nilai kemanusiaan, disiplin, tanggungjawab sosial dan keyakinan diri dalam kalangan prospek," katanya.
Beliau berkata, penyertaan prospek dalam program itu turut menunjukkan bahawa setiap individu masih mempunyai ruang untuk berubah dan membina masa depan yang lebih baik.
"Penglibatan prospek dalam kursus tersebut membuktikan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berubah, memperbaiki diri dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada masyarakat apabila kembali ke pangkuan keluarga dan komuniti kelak," katanya.
Kursus itu merangkumi pendedahan berkaitan asas bantuan hayat, resusitasi kardiopulmonari (CPR), bantuan pernafasan serta penggunaan AED.
Sesi pertama bermula pukul 8 pagi dengan pengenalan asas bantuan hayat, diikuti ujian teori, manakala sesi petang melibatkan peperiksaan fizikal dan amali.
Penganjuran kursus tersebut turut mendapat perhatian apabila ia dicadangkan untuk dicatatkan dalam MBOR sekali gus mencerminkan komitmen Jabatan Penjara dalam melaksanakan program pemulihan yang inovatif dan progresif.
Fayrouz berkata, kejayaan itu menjadi bukti bahawa program pemulihan di institusi koreksional kini bergerak lebih jauh dengan memberi peluang kepada prospek membangunkan potensi diri.
"Kita mahu melihat prospek bukan sahaja menjalani proses pemulihan tetapi turut memiliki kemahiran dan nilai yang boleh dimanfaatkan apabila mereka kembali kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, pihak Pusat Koreksional Batu Gajah berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan modal insan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan usaha pemulihan dan reintegrasi sosial prospek.
"Program seperti ini memberi ruang kepada prospek untuk membina keyakinan, meningkatkan kemahiran serta membuktikan bahawa mereka mampu memberi sumbangan positif kepada komuniti," menurut kenyataan pusat berkenaan.




Comments