Pusat Kerjaya, Dana Pendidikan Anak Tanjung Surat - janji Faizul
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Penubuhan Pusat Kerjaya Tanjung Surat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta Dana Pendidikan Anak Tanjung Surat antara komitmen baharu yang dijanjikan calon Pakatan Harapan (PH) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani (gambar), sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tujuh teras utama yang digariskan bagi memastikan limpahan pembangunan pesat di kawasan Pengerang benar-benar dinikmati rakyat tempatan khususnya golongan belia, anak peneroka FELDA dan komuniti pesisir.
Pembangunan ekonomi di Pengerang tidak seharusnya hanya memberi manfaat kepada pelabur sebaliknya perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat, katanya.
"Saya akan memperjuangkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui penubuhan Pusat Kerjaya Tanjung Surat, kerjasama dengan industri serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Mengangkat tema "Tanjung Surat Nadi Negara, Yang Tersirat Kini Tersurat", Faizul berkata beliau mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar suara masyarakat serta memastikan setiap pembangunan membawa manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan.
Katanya Tanjung Surat mempunyai potensi besar sebagai kawasan yang menghubungkan komuniti nelayan, tanah rancangan FELDA, kampung tradisi dan pembangunan industri di Pengerang sekali gus berpotensi untuk diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
Bagi komuniti nelayan pula, beliau berjanji akan memperjuangkan sistem pelesenan yang lebih adil dan telus, menaik taraf kemudahan jeti serta pangkalan nelayan, melaksanakan kerja pendalaman sungai dan muara secara berkala selain memastikan bantuan peralatan, teknologi dan skim sokongan disediakan terutama ketika musim tengkujuh.
Beliau turut mahu memperkukuh pemasaran hasil laut supaya pendapatan nelayan dapat dipertingkatkan.
Dalam usaha membela generasi kedua dan ketiga FELDA, Faizul berkata pihaknya akan memperjuangkan penyelesaian isu perumahan, memperluaskan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut keperluan industri serta memperkasa ekonomi FELDA agar anak peneroka mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan tanpa perlu berhijrah.
Beliau juga mahu memberi keutamaan kepada penyelenggaraan jalan raya, jambatan, sistem saliran, lampu jalan dan kemudahan awam, di samping memperjuangkan capaian internet yang lebih stabil di kawasan kampung, FELDA dan pesisir serta memperkukuh sistem aduan rakyat bagi mempercepat penyelesaian isu setempat.
Bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, Faizul berkata usaha akan dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi peneroka, peniaga kecil dan usahawan mikro melalui latihan, pemasaran digital, pembangunan produk hiliran, koperasi serta akses kepada pelbagai program bantuan kerajaan.
Menurutnya, beliau juga akan menyokong pelaksanaan Jualan Rahmah dan pelbagai inisiatif lain bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Dalam sektor pelancongan pula, jelas Faizul, industri itu perlu dibangunkan secara mampan dengan memperkukuh produk pelancongan komuniti seperti inap desa, makanan laut, paya bakau, budaya kampung dan warisan tempatan supaya ia menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk tanpa menjejaskan alam sekitar.
Beliau turut berikrar memperjuangkan Dana Pendidikan Anak Tanjung Surat, memperkasa belia melalui latihan kemahiran dan ekonomi digital serta membuka lebih banyak peluang kepada wanita meningkatkan pendapatan keluarga melalui keusahawanan dan latihan kemahiran.
Beliau berkata, kebajikan warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), keluarga B40 dan golongan memerlukan juga akan terus diberi perhatian menerusi sistem kebajikan yang lebih tersusun.
Menurutnya, tujuh teras yang dibentangkan bukan sekadar manifesto pilihan raya sebaliknya pelan tindakan yang dibina berdasarkan suara rakyat Tanjung Surat.
"Saya akan menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap isu diperjuangkan dan setiap peluang pembangunan dibawa pulang kepada kawasan ini," katanya.




Comments