Meskipun tempoh Memorandum Kerjasama antara Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan secara teknikalnya telah tamat namun Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 masih belum sesuai diadakan.
Hal itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dalam siri forum Borak Dahsyat bertajuk "Rakyat Menderita, Kenapa Sibuk Nak Pilihanraya"
Katanya, keadaan menjadi kondusif untuk pilihan raya apabila ekonomi pulih dan kedudukan kewangan rakyat stabil serta pengundi mampu memilih kerajaan dalam keadaan yang meyakinkan.
"Dalam keadaan subsidi ditarik, harga barang melambung naik ketika ini terlalu banyak derita rakyat tercetus.
"Ianya tidak sebagaimana yang dikatakan menteri bahawa ekonomi bertambah baik, pengangguran setakat 4.2% yang tidak menggugat kestabilan dan sebagainya
"Tetapi kita lupa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu hampir 1 juta tidak berkerja terutama dalam sektor perkhidmatan," katanya.
Sebaliknya apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan pada tempoh 6 bulan ke hadapan, kata Abdullah, adalah bagi memastikan rakyat mendapat pekerjaan dan makanan secukupnya.
Jika tidak, kata beliau, rakyat mungkin tidak tertarik keluar mengundi membayangkan kerajaan yang dipilih belum tentu akan menyenangkan kehidupan mereka.
"Realitinya hari ini rakyat di bawah sudah mula menjadi penjenayah, mencuri, mengutip sampah di tepi jalan untuk meneruskan penghidupan mereka.
"Ini salah satu penyebab keadaan menjadi rumit. Tidak betul rakyat dalam keadaan stabil ekonomi," katanya.
Bagaimanapun, menurut Abdullah, pilihan raya kali ini akan menyaksikan rakyat mempunyai sedikit keyakinan untuk mendapatkan kerajaan yang stabil selepas akta anti lompat parti diluluskan.
Berbeza dengan keadaan dua tahun sebelum apabila aktiviti melompat parti menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan langsung asing.
Abdullah mengharapkan demokrasi di Malaysia akan menjadi lebih matang dan Parlimen tidak lagi mengulangi sebagaimana sebelum PRU 2008 yang mana BN berkuasa dengan majoriti 2/3.
Katanya, majoriti terlalu besar menyebabkan ketua kerajaan sesuka hati meminda Perlembagaan.
"Umum tahu selepas akta lompat parti diperkenalkan kita akan fokus reform Parlimen jangan ikut warload. Aturan sehingga mereka (Ahli Parlimen) tidak boleh berfikir (terlalu ikut ketua).
"Ini juga menjurus kepada keadaan bagaimana majoriti 2/3 (sebelum PRU 2008), iaitu sehingga dia (BN) buat apa sahaja hingga boleh pinda Perlembagaan tanpa berfikir dan ini sebenarnya tidak sihat dalam demokrasi berparlimen kerana menjurus kepada ketidakstabilan dalam politik," katanya.
Justeru, Abdullah berharap keadaan seperti mana sebelum ini satu parti menjadi parti dominan sehingga undang undang boleh dipermain untuk mengelak pemimpin kerajaan yang menyeleweng wang negara dipenjarakan tidak akan berlaku lagi dan demokrasi akan subur memperbaiki sistem negara secara beransur ansur.
Comments