top of page

Projek jalan di Sarawak: Ada penduduk belum terima pampasan sejak 2016

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Jalan Jiwa Murni yang masih belum diturap menimbulkan tanya tanya adakah projek terbengkalai
Jalan Jiwa Murni yang masih belum diturap menimbulkan tanya tanya adakah projek terbengkalai

Penduduk empat rumah panjang di Daerah Kecil Merit mendakwa masih belum menerima bayaran pampasan bagi tanah adat (NCR) dan pokok buah-buahan yang terlibat dalam Projek Jalan Jiwa Murni sejak 2016 sehingga kini.


Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Khusyairy Pangkas berkata, perkara itu didedahkan penduduk ketika beliau turun padang menemui masyarakat di Rumah Rajau, Sungai Metah; Rumah Sylvester Gerunsin, Sungai Pila; Rumah Mambu dan Rumah Kendawang di Nanga Musa, Daerah Kecil Merit.


"Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati kerana sebahagian besar penduduk rumah panjang lain yang turut terlibat dengan projek tersebut telah lama menerima pampasan masing-masing.

Khusyairy Pangkas
Khusyairy Pangkas

"Perlu ditegaskan bahawa apabila masyarakat menuntut hak mereka, ia tidak bermaksud mereka menolak pembangunan. Sebaliknya, mereka hanya menuntut keadilan dan hak yang sewajarnya diberikan mengikut peruntukan undang-undang.

"Selain itu, jalan Jiwa Murni yang melalui kawasan tanah adat empat buah rumah panjang tersebut juga masih belum diturap sehingga hari ini. Persoalan yang timbul ialah sama ada kerja-kerja projek berkenaan telah dilunaskan pembayarannya sepenuhnya atau projek tersebut kini dikategorikan sebagai projek sakit atau terbengkalai," katanya dalam satu kenyataan.


Memandangkan projek tersebut dibiayai menggunakan dana pembangunan Persekutuan, Khusyairy yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kapit berkata, pihak berkuasa yang berkaitan wajib memantau pelaksanaan projek berkenaan sekali gus memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan telus, berintegriti dan memberi manfaat kepada rakyat.

"Oleh kerana Projek Jalan Jiwa Murni berada di bawah seliaan Agensi Pembangunan Wilayah Ulu Rajang (URDA), maka URDA juga sewajarnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memantau pelaksanaan projek ini serta membantu mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat.

"Keadilan mesti ditegakkan. Hak rakyat mesti dipelihara. Pada masa yang sama, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan setiap projek pembangunan hendaklah sentiasa diawasi demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua pihak secara adil dan saksama.


"Pembangunan Projek Jalan Jiwa Murni bukanlah bertujuan untuk merampas harta benda atau tanah adat masyarakat asal tanpa bayaran pampasan yang sewajarnya mengikut undang-undang.


"Sebaliknya, projek ini dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat," ujar beliau yang juga Ketua Biro Profesional KEADILAN Sarawak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page