Projek bina Klinik Kesihatan Baharu di Rantau dipercepatkan
- Suara Keadilan

- Aug 1
- 1 min read

Projek pembangunan Klinik Kesihatan (KK) di Rantau bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah berusia 64 tahun dan kini beroperasi melebihi kapasiti akan dipercepatkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KK Rantau ketika ini menerima kira-kira 450 pesakit sehari, sekali gus berfungsi seperti sebuah klinik kesihatan Jenis 3 walaupun masih berstatus Jenis 4.
"Ia bukan sesuatu yang baru diluluskan. Projek ini telah diluluskan lebih awal dengan siling kos RM46.985 juta di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 2024," katanya dipetik selepas meninjau tapak pembinaan KK Rantau di Seremban pada Jumaat.
Sementara itu menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor dilantik bagi membolehkan projek itu dimulakan, manakala kerja-kerja awalan termasuk kerja dan ujian tanah telah dilaksanakan.
Klinik baharu itu bakal menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal, radiologi serta rehabilitasi.
"Klinik ini dijangka siap pada 23 Julai 2029, namun kontraktor memberi komitmen menyiapkannya lebih awal dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Ia akan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 75,000 penduduk di kawasan Rantau," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly turut memaklumkan Hospital baharu di Bandar Enstek dijangka beroperasi pada 2032.
Menurutnya, Hospital itu akan memberi manfaat kepada penduduk kira-kira 700.000 di Nilai, Labu, Seremban 2, Sendayan serta kawasan sekitar.
Dengan adanya kemudahan tersebut, ia jelasnya bakal mengurangkan tekanan melampau ke atas Hospital Tuanku Ja’afar sebagai hospital rujukan utama di Negeri Sembilan.




Comments