PRN selesai kekusutan di Negeri Sembilan, iktiraf keabsahan kerajaan
- Helmi Mohd Foad

- 4 hours ago
- 1 min read

Penyertaan semua parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap keabsahan proses perlembagaan negeri sekali gus berpotensi menamatkan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata sekiranya semua parti termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan calon pada hari penamaan calon pada Sabtu ini, tindakan itu dari sudut undang-undang menunjukkan mereka mengiktiraf sepenuhnya PRN pada 1 Ogos depan.
Penyertaan dalam pilihanraya menerusi pencalonan rasmi, pembayaran deposit dan pematuhan kepada prosedur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), katanya, membawa implikasi bahawa semua pihak menerima keabsahan proses berkenaan.
"Dengan mengiktiraf PRN, ia membawa makna semua parti-parti politik itu mengiktiraf keabsahan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan.
"Kenapa begitu? Kerana MB Aminuddin adalah individu yang menasihati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan supaya DUN dibubarkan pada 4 Jun lalu," kata Hassan dalam kenyataan hari ini.
Hassan turut berpandangan bahawa penyertaan semua parti dalam PRN Negeri Sembilan membawa maksud pengiktirafan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Ini kerana katanya, baginda telah bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan dengan memperkenankan pembubaran DUN sekali gus memberikan laluan pilihanraya diadakan.
Beliau berkata, perkembangan itu diyakini mampu menamatkan segala pertikaian politik serta perebutan kuasa yang sebelum ini dikaitkan dengan krisis perlembagaan negeri.
"...segala pergolakan politik, perebutan kuasa dan pertikaian yang mengheret institusi Adat Minangkabau di Negeri Sembilan akan terlerai dari segala kekusutan dan Negeri Sembilan akan kembali tenang dan damai selepas PRN nanti.
"Pergolakan yang berlaku di ruang istana, di koridor kuasa dan di Dewan Negeri akhirnya akan diselesaikan di peti undi. Begitulah cantiknya demokrasi," katanya lagi.




Pandangan yang baik.
Pengundi N9 boleh menilai parti mana yang ikhlas dalam meredakan kekusustan ini.
Bagi kami. Tok Min telah berada di landasan yang betul. Semoga beliau kekal menjadi MB sehabisnya PRN nanti.