PRN Sarawak: KEADILAN akan selesaikan isu hak tanah adat rakyat Sarawak


KEADILAN berjanji akan menyelesaikan isu hak tanah adat (native customary right) yang dihadapi rakyat Sarawak sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Pengerusi KEADILAN Sarawak, Larry Sng menganggap kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dahulunya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan dan melindungi hak undang-undang rakyat Sarawak ke atas tanah adat.


Malah, Larry mendakwa banyak tanah adat rakyat Sarawak telah dijual mahupun disewa kepada pengusaha ladang kelapa sawit dan syarikat balak komersial.


"GPS dan komponennya telah berkuasa selama 57 tahun dan mempunyai peluang untuk melaksanakan segala perubahan ini, tetapi sebaliknya GPS gagal dan terus mengabaikan hak dan kesejahteraan rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan.


Justeru, Larry memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak yang diterajui KEADILAN akan memastikan tanah adat negeri diuruskan dengan segera dan teratur.


"Kerajaan negeri yang dipimpin oleh KEADILAN akan meningkatkan peranan dan fungsi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk menjalankan kerja pemetaan perimeter dan kajian tanah dengan betul.


"Dana akan disediakan untuk menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti sempadan tanah adat Anak Negeri dengan tepat dan menyelesaikan isu 'Hakmilik Tanah / Akta dengan segera.


"Kerajaan baharu juga akan bekerjasama dengan masyarakat setempat dan Majilis Adat Istiadat Sarawak. Survei NCR ini akan diselesaikan dalam jangka masa 5 tahun," katanya.


Pada masa sama, Larry berkata Tribunal Khas Tanah akan dibentuk untuk menimbangtara dan menyelesaikan perselisihan mengenai hak tanah dan batas tanah adat serta menyelesaian kes tertunggak.


"Pembangunan negeri mestilah sesuai dengan model lestari dan mesra alam, dengan mempertimbangkan faktor sosio-budaya masyarakat sekeliling, dan wajib merangkumi penglibatan anak jati Sarawak, orang asal yang kaya dengan keunikan sejarah menoa Sarawak.


"Kami akan mengkaji semua konsesi terutamanya konsesi yang telah mendapat aduan," katanya.


Larry juga mendedahkan bahawa Polisi Alam Sekitar dan Perhutanan yang lestari dan progresif melalui program penghutanan semula yang berpaksikan rakyat akan turut dilaksanakan.


"Ini sebagai usaha melindungi alam sekitar dan pada masa yang sama memperkasa ekonomi masyarakat tempatan melalui skema pengaturan karbon perubahan iklim antarabangsa.


"Kami akan membayar masyarakat untuk menjalankan penanaman semula hutan di tanah mereka dan melindungi alam sekitar untuk generasi yang akan datang.


"Dasar-dasar ini akan membolehkan kita mengembalikan kekayaan Sarawak kepada majoriti rakyat dan bukan hanya menumpukannya di tangan minoriti iaitu keluarga elit politik dan hartawan kayu balak.


"Semua matlamat ini dapat dicapai dengan mantap kerana hak tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tidak memerlukan campur tangan kerajaan persekutuan," katanya.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio