PRN atas kehendak rakyat: Kerajaan BN kukuh, tiada siapa minta bubar - AMK
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan atas kehendak rakyat sebagaimana dakwaan pemimpin UMNO-BN di negeri itu tidak disokong bukti kukuh.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Faezuddin Puad berkata tiada sebarang referendum, pungutan suara atau kajian rasmi yang menunjukkan majoriti rakyat Johor mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal.
"Kenyataan bahawa PRN Johor diadakan kerana ‘kehendak rakyat’ wajar dipersoalkan. Apakah ada sebarang referendum atau kajian rasmi yang menunjukkan majoriti Bangsa Johor mendesak supaya DUN dibubarkan lebih awal?" katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri ketika ini masih berfungsi dengan baik serta memiliki majoriti kukuh, sekali gus tidak memerlukan pembubaran DUN dalam masa terdekat.

"Rakyat mana yang meminta PRN Johor diadakan ketika Kerajaan Negeri masih berfungsi dengan baik dan mempunyai majoriti yang amat kukuh?" soal Ketua Cabang Pulai itu.
Faezuddin turut memberi contoh bahawa sebelum ini cadangan Kerajaan BN mewujudkan ADUN lantikan ke Dewan Negeri Johor telah diluluskan dengan mudahnya yang tidak memerlukan DUN dibubar awal.
Dalam pada itu, beliau juga memetik keputusan PRN Johor 2022 yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 43.11 peratus undi popular, sekali gus menggambarkan bahawa sokongan majoriti rakyat tidak memihak kepada gabungan tersebut.
"Melainkan ‘rakyat BN’lah yang minta adakan PRN segera," sinisnya.
Faezuddin menegaskan bahawa keutamaan Kerajaan Negeri seharusnya tertumpu kepada usaha memulihkan ekonomi, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik.
"Sepatutnya kedudukan BN yang kuat digunakan sebaik mungkin untuk pulihkan dan kukuhkan ekonomi. Bubarkan DUN bukanlah satu keutamaan sekarang ini," katanya.
Beliau berkata, tindakan mengadakan PRN ketika kerajaan masih stabil dan mempunyai baki tempoh pentadbiran disifatkan sebagai keputusan politik yang sukar diterima rakyat.
"Mengheret rakyat ke satu lagi medan percaturan kuasa ketika Kerajaan Negeri masih stabil adalah sesuatu yang sukar diterima," katanya.
Tambahnya, rakyat kini semakin matang dan mampu menilai situasi semasa dengan lebih rasional.
Tegas beliau, rakyat hari ini cerdik, mereka tahu apa yang berlaku sekarang hanyalah satu keputusan politik yang dibuat oleh BN dan bukan untuk keperluan majoriti Bangsa Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan mempertahankan keputusannya untuk bertanding kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang sebagai kehendak majoriti rakyat Johor.
Namun demikian, beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, keputusan itu tidak menghalang pentadbiran negeri bekerjasama dengan kepimpinan Pusat bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela.
"Saya maklum pandangan Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
"Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah keputusan yang sukar untuk diterima Perdana Menteri. Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong," soalnya dalam kenyataan itu.




Comments