Potong giliran dapatkan vaksin: Kerajaan sepatutnya lindungi pemberi maklumat - AMK



Kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya melindungi pemberi maklumat (whistleblower) yang mendedahkan sebarang salah laku memotong giliran mendapatkan vaksin Covid 19, bukannya menghalang penjawat awam berbuat demikian.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia yang melarang petugas kesihatan daripada membuat penyataan awam tanpa kebenaran baru-baru ini hanya akan menyekat rakyat daripada mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


"Walaupun dinyatakan arahan ini bukanlah bertujuan menyekat mana-mana pegawai untuk bersuara, namun secara tidak langsung pasti akan menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kepada pemberi maklumat untuk mendedahkan kepincangan serta ketirisan dalam tindakan yang digerakkan kerajaan.


"Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan biasanya telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Menteri Kesihatan. Hal ini dilihat seperti bertentangan dengan sikap terbuka Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.


"Pada 28 Februari 2021, beliau menyeru agar lebih ramai whistleblower tampil mendedahkan jika terdapat sebarang usaha memotong giliran mendapatkan vaksin," katanya.


Menurut Akmal lagi, penegasan Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sewajarnya dipatuhi oleh kakitangan perkhidmatan awam agar rakyat berasa yakin usaha vaksinasi dilaksanakan secara adil, telus dan penuh tanggungjawab.


"Apabila terdapat petugas kesihatan memilih untuk membuat kenyataan umum dengan disertai lampiran bukti-bukti tanpa mendedahkan identiti mereka, ini merupakan satu isyarat bahawa mereka tidak yakin terhadap keberkesanan kerajaan dalam melindungi identiti mereka yang membuat pendedahan.


"Oleh itu, kerajaan digesa mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap whistleblower serta proaktif dalam melindungi identiti mereka yang juga merupakan petugas barisan hadapan.


"Sebagai petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus lebih setahun bagi mengekang penularan wabak ini, sudah pasti mereka lebih sensitif terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan nilai dan etika," katanya.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan sebarang kenyataan yang berbaur amaran atau gertakan dari kerajaan amat tidak membantu kepada usaha mengekang ketirisan dalam pelaksanaan program vaksinasi.


Teguran petugas kesihatan melalui saluran mana sekali pun, katanya perlu diberi perhatian dan disusuli dengan siasatan yang adil kerana hal itu juga boleh dianggap sebagai suatu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah berkorban selama ini.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio