top of page

PMX bawa banyak berita gembira sempena merdeka

  • Writer: Noraini Nordin
    Noraini Nordin
  • 4 hours ago
  • 2 min read
PMX gembira menyambut merdeka bersama rakyat di Putrajaya hari ini
PMX gembira menyambut merdeka bersama rakyat di Putrajaya hari ini

Ulasan Berita: Tidak seperti sambutan Hari Kebangsaan tahun-tahun sebelumnya, sambutan tahun ini tentunya membuatkan rakyat lebih dilimpahi kegembiraan.


Hal ini kerana sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa banyak berita gembira melalui perutusan Amanat Merdeka yang disampaikannya petang semalam.


Berita paling menggembirakan tentunya apabila kuota petrol BUDI95 dinaikkan semula kepada 300 liter setiap bulan berkuatkuasa 1 September.


Pada peringkat awal BUDI95 diperkenalkan, kuota yang diberikan kepada setiap rakyat yang mempunyai lesen memandu adalah 300 liter, tetapi kemudian dikurangkan kepada 200 liter berdasarkan kedudukan semasa harga petroleum dunia yang meningkat akibat perang di negara Teluk.


Tetapi dengan peredaran masa, disebabkan ramai pengguna memiliki lebih kenderaan serta melakukan banyak perjalanan, mereka tampil merayu agar kuota itu dikembalikan menjadi 300 liter semula.


Maka itu, selain kerajaan setuju agar kuota petrol dinaikkan daripada 200 liter kepada 300 liter, turut dipersetujui ialah kuota diesel dinaikkan daripada 300 liter kepada 400 liter.


Sentiasa mendengar suara rakyat


Penambahan ini memberi maksud bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara rakyat dan tidak sesekali memandang sepi tentangnya.


Peningkatan kuota petrol dan diesel sudah tentu merupakan berita gembira buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.


Biasanya berita gembira hanya diumumkan ketika pembentangan belanjawan tahunan, namun kali ini sambutan merdeka pun ada berita gembira.


Berita gembira lain yang diumumkan Anwar melalui perutusan Amanat Merdeka semalam ialah kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.


"Dengan ini, perniagaan yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois," katanya.


Sekali lagi, ini juga adalah berita gembira kepada peniaga yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.


Sementara itu, kerajaan turut menambah kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.


Sebanyak RM200 juta lagi diperuntukkan menerusi Geran Sejahtera Madani bagi penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang meniaga dari rumah.


Pada waktu yang sama, sementara golongan B40 diberi tumpuan, golongan M40 juga tidak dipinggirkan apabila mereka turut menerima manfaat menerusi kadar cukai pendapatan yang lebih rendah, bantuan awal persekolahan serta subsidi elektrik.


Bagi kemudahan pembelajan pula, Anwar mengumumkan peningkatan 50 peratus peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi tahun hadapan, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.


Peruntukan itu meliputi penyelenggaraan di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok, serta kemudahan pendidikan khas.


Peruntukan AI untuk generasi muda


Bagi memastikan rakyat bergerak seiring dengan kemajuan global, Program AI untuk Rakyat akan dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.


Menurut Perdana Menteri, seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan merangkumi IlmuChat (AI tempatan), Gemini Enterprise (USA) serta Wonderclip dan MuleRun (China).


Sementara itu, tambah beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.


Usaha itu meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam


Pendek kata, semua berita gembira ini adalah ikhtiar kerajaan yang boleh melegakan lagi kehidupan seharian rakyat Malaysia.


Terima kasih PMX dan Kerajaan MADANI.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page