

Kerajaan Persekutuan mengumumkan memberi dana tambahan untuk projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang dicadangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, masalah kesesakan jalan raya di pulau itu menjadi isu mendesak dan Kerajaan Persekutuan terdahulu menurutnya tidak memberi cukup dana untuk menangani masalah berkenaan.
"Bukan kerana saya sendiri orang Pulau Pinang, tetapi projek LRT ini adalah keperluan yang mendesak. Selepas sekian lama dengan dua jambatan, isu trafik masih belum ditangani. Dan Kerajaan Negeri berulang kali meminta peruntukan.
"Jadi saya mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menambah dana ke dalam skim besar yang akan membolehkan kerajaan Pulau Pinang melaksanakan LRT dengan segera," katanya pada majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang, semalam.
Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh beberapa isu di negeri itu antaranya keluhan penduduk tempatan dan nelayan di pantai selatan Pulau Pinang berkaitan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dirancang.
"Untuk mengurangkan masalah yang timbul daripada penambakan pulau… ia akan dikaji semula agar skopnya dapat dikurangkan," kata anak kelahiran Permatang Pauh itu.
Projek PSI merangkumi kawasan seluas 1,821 hektar di pantai selatan Pulau Pinang antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul. Dirancang antara lain untuk membiayai projek LRT.
Jualan tanah dan hartanah yang ditambak akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), di mana jalan raya baharu dan sistem pengangkutan akan dibina.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini memberi jaminan bahawa projek tersebut tidak akan menjadi seperti projek Forest City yang dianggap gagal.