
Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon amat bermakna dari sahabat lama dan teman setia, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan sempena Aidilfitri mulia.
Beliau dan Erdogan bertukar tukar ucapan Aidilfitri dan berbincang mengenai hubungan antarabangsa.

"Menerima panggilan telefon daripada Presiden Republik Turkiye TYT Recep Tayyip Erdogan semalam sambil kedua kami berbalas ucapan Aidilfitri Mubarak.
"Kami menegaskan isu-isu hubungan dua hala Malaysia-Turkiye, isu-isu antarabangsa termasuk perkembangan krisis politik di Tunisia, selain perkembangan terkini mengenai pergolakan di Sudan," katanya dalam catatan di Facebook.
Anwar turut dimaklumkan Turkiye yang akan mengadakan Pilihan Raya Umum pada pertengahan tahun ini dan mendoakan hubungan antarabangsa yang kekal baik dan berharap Erdogan kembali berkuasa.
"Saya juga mengambil maklum Turkiye kini sedang dalam proses persediaan untuk menghadapi pilihanraya tidak lama lagi, dan saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Republik Turkiye dan memperkukuh hubungan antara kedua negara sahabat," katanya lagi.
Untuk rekod Presiden Erdogan merupakan sahabat baik Anwar sejak beberapa dekad lalu. Sepanjang Erdogan menjadi Presiden Turkiye beliau kerap kali mendoakan Anwar akan berjaya menjawat Perdana Menteri Malaysia.
Penantian itu berakhir pada November 2022 apabila kedua duanya kini bergelar ketua kerajaan.