PM mesti adakan sidang khas Parlimen isu saham Azam Baki - PH



Pakatan Harapan (PH) memandang berat isu kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang melumpuhkan kredibiliti SPRM di mata rakyat, malah juga di peringkat antarabangsa seperti kenyataan yang dibuat Transparency International.


Menurut Majlis Presiden PH, dalam isu tersebut Ketua Pesuruhjaya serta Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang amat perlu disiasat oleh satu badan bebas dan kedua dua mereka mesti direhatkan sementara siasatan berjalan.


"Kami tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam. Oleh kerana kenyataan Ketua Pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.


"Ini melibatkan undang- undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini.


"Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan, kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia," kata Majlis Presiden PH.


Majlis itu juga kesal dengan kenyataan Azam berhubung proses pembelian saham telah menyebabkan integriti Bursa Malaysia terjejas dan mungkin mendapat persepsi buruk daripada pelabur asing.


Kata mereka, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam Baki tentang perkara berkenaan demi mengekalkan keyakinan pelabur asing ke atas pasaran dana di Malaysia.


"Oleh yang demikian, Majlis Presiden berpandangan Perdana Menteri tidak lagi boleh berdiam diri. Selaku Ketua Majlis (Parlimen), beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki.


"Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai- pegawai SPRM.


"Kami mengulangi pendirian, siasatan penuh perlu dilakukan oleh badan bebas terhadap bukan sahaja Ketua Pesuruhjaya sedia ada, malah juga terhadap Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini," kata mereka lagi.


Di samping itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga, kata Majlis Presiden, perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang seperti yang didakwa pelbagai pihak.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER