ASEAN perlu mengekalkan kepaksian, kepusatan dan perpaduan ASEAN di tengah-tengah persaingan geopolitik dan ketidaktentuan geo-ekonomi, tegas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut PM, perkara itu telah disinggung semasa sesi Pleno di Sidang Kemuncak ASEAN pada Selasa.
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, selain mahu ASEAN terus memusatkan perpaduan, beliau turut menggesa ASEAN meneruskan usaha memperkukuh kapasiti dan keberkesanan institusinya serta memastikan persaingan geopolitik ini tidak akan menjejaskan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini mahupun mencetuskan kesenjangan atau kegalauan sesama rakan ASEAN
"Saya menyeru agar ASEAN melaksanakan pengaturan strategik yang lebih besar untuk meningkatkan integrasi ekonomi dalam ASEAN dan berusaha ke arah arkitektur ekonomi serantau yang cergas, inklusif, mampan dan berdaya tahan," tegas Anwar.
Terdahulu, Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN, disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Perdana Menteri sementara itu menyatakan kekecewaan Malaysia terhadap terhadap kurangnya kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan situasi ketidakstabilan yang berterusan di Myanmar.
Negara itu tegasnya perlu menunaikan kewajipannya sebagai negara anggota ASEAN serta mengikut peruntukan dalam piagam forum kerjasama serantau itu
"Saya tekankan bahawa ASEAN perlu menangani isu Myanmar dalam pendekatan yang diselaraskan, dan agar ASEAN memanfaatkan Rakan Dialognya, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Nada tegas telah dilontarkan kepada Myanmar supaya menunaikan kewajipannya sebagai Negara Anggota ASEAN mengikut peruntukan dalam Piagam ASEAN," katanya mengulas sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN yang turut dihadirinya.
Kommentare