Pindaan RUU Kawalan Padi: Gunakan sistem jejak digital dalam pemantauan
- Suara Keadilan
- 21 hours ago
- 1 min read

Usaha Kerajaan MADANI memperkukuh kawalan industri padi dan beras menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras memerlukan penguatkuasaan yang lebih berkesan berasaskan teknologi bagi memastikan matlamatnya benar-benar tercapai.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (gambar) berkata, pindaan yang meningkatkan kadar denda dan hukuman sahaja tidak mencukupi sekiranya sistem pemantauan terhadap rantaian bekalan beras masih lemah.
Menurut beliau, penggunaan teknologi seperti sistem jejak digital dan pangkalan data bersepadu perlu dilaksanakan bagi membolehkan setiap pergerakan beras dipantau dari peringkat kilang sehingga ke rak jualan.
"Kita memerlukan pemantauan yang lebih berkesan. Penggunaan teknologi seperti sistem jejak digital dan pangkalan data bersepadu perlu dilaksanakan supaya setiap pergerakan beras dapat dikesan, bermula dari kilang sehingga ke rak jualan," katanya dipetik ketika membahaskan RUU Kawalan Padi dan Beras di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pendekatan itu mampu memperkukuh penguatkuasaan sekali gus membendung kegiatan penyorokan, penipuan pelabelan dan manipulasi bekalan beras yang memberi kesan kepada pengguna serta pesawah.
Dalam pada itu, Azli turut berharap pindaan undang-undang berkenaan dapat memperluaskan perlindungan kepada golongan pesawah melalui peningkatan produktiviti sektor penanaman padi.
Katanya, usaha tersebut perlu disokong dengan penggunaan benih berkualiti, mekanisasi, teknologi pintar dan sistem pengurusan air yang lebih cekap bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, atas kejayaan mengatasi krisis rantaian bekalan beras yang pernah melanda negara pada awal pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, langkah yang dilaksanakan kerajaan telah berjaya memulihkan bekalan beras di pasaran sehingga isu kekurangan bekalan tidak lagi menjadi aduan utama pengguna.
"Sehingga hari ini, kita tidak lagi mendengar aduan mengenai kekurangan bekalan beras dalam pasaran," katanya lagi.
